BAGAN SERAI: Masalah kewangan memaksa pasangan suami isteri menangguhkan pembedahan kaki anak bongsu berusia tiga tahun selepas gagal mengumpul kos rawatan diperlukan dalam tempoh terdekat.
Muhammad Mikail Rafanza Mohd. Rizal dijadualkan menjalani pembedahan memasukkan plate besi pada lutut bagi mengawal pertumbuhan tulang susulan keadaan sebelah kakinya lebih pendek dan masalah lutut tidak boleh diluruskan.
Bapanya, Muhammad Rizal Azlan, 40 berkata, pembedahan dijadualkan 10 Mac, terpaksa ditangguh ke 16 Jun depan kerana belum mempunyai wang mencukupi bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan RM6,000.
“Prosedur ini melibatkan pemotongan urat dan pemasangan besi bagi menyekat pertumbuhan kaki yang normal supaya kaki yang lebih pendek dapat mengejar pertumbuhan dan menjadi seimbang.
“Kami berusaha mengumpul dana, namun pendapatan sebagai operator pengeluaran kilang di Pulau Pinang, ia agak sukar,” katanya.
Mikail disahkan mengalami pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kecacatan tulang belakang, tertutup lubang dubur, kecacatan jantung dan tiada buah pinggang kiri.
Pembedahan mewujudkan lubang dubur dilakukan 2022 dan rawatan susulan setiap hari menggunakan besi dilator dan tiub khas bagi memastikan saluran tersebut tidak tertutup.
Rizal berkata, kira-kira RM1,100 sebulan diperlukan untuk membeli keperluan perubatan seperti tiub getah, besi dilator dan susu khas.
“Jumlah itu belum termasuk pembelian kasut khas bersama plate besi (Ankle Foot Orthosis) berharga RM1,234 yang perlu diganti mengikut pertumbuhan kaki dan kos perjalanan berulang-alik ke hospital,” katanya.
Mikail yang menerima rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan klinik pakar berkaitan, didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), namun belum memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak Baitulmal bagi menampung kos rawatan.
Sumbangan boleh disalurkan ke CIMB di 7020181190 atas nama Muhammad Rizal Azlan. – UTUSAN











