PETALING JAYA: Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) perlu dilaksanakan dengan garis panduan jelas dan rundingan bersama bagi memastikan hak pekerja terus terpelihara.
Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, cadangan kerajaan untuk memperluas waktu kerja lebih anjal termasuk pendekatan BDR dalam sektor swasta dialu-alukan namun pelaksanaannya tidak boleh menjejaskan kebajikan pekerja.
Beliau berkata, BDR berpotensi memberi manfaat kepada pekerja dan majikan antaranya mengurangkan kos sara hidup harian seperti petrol, tol dan parkir selain meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan.
Katanya, bagi pihak majikan, pendekatan itu boleh mengurangkan kos operasi termasuk utiliti dan ruang pejabat.
“Bagaimanapun, pelaksanaan BDR mesti disokong dengan garis panduan komprehensif bagi mengelakkan sebarang bentuk ketidakadilan terhadap pekerja.
“Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian termasuk skop pekerjaan yang sesuai, penetapan waktu kerja yang jelas serta perlindungan hak pekerja untuk tidak diganggu di luar waktu kerja atau ‘right to disconnect’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, aspek kesihatan mental pekerja tidak boleh diabaikan, memandangkan BDR boleh meningkatkan risiko beban kerja berlebihan, tekanan untuk sentiasa responsif serta kekaburan sempadan antara kehidupan kerja dan peribadi.
“Majikan perlu memastikan pengurusan kerja yang munasabah dan beretika, selaras dengan prinsip kesejahteraan pekerja.
“Selain itu, pekerja juga perlu dibekalkan peralatan kerja yang sesuai dan mencukupi bagi memastikan pelaksanaan BDR berjalan lancar. Majikan tidak seharusnya memindahkan tanggungjawab penyediaan peralatan tersebut kepada pekerja kerana ia boleh menambah beban kewangan,” katanya.
Tambahnya, sebarang penjimatan kos oleh majikan tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pekerja, khususnya melibatkan kos utiliti seperti elektrik dan internet yang digunakan bagi tujuan kerja dari rumah.
Mohd. Effendy berkata, sebarang perubahan kepada struktur atau kaedah kerja perlu melalui proses rundingan bersama selaras dengan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Jelasnya, pelaksanaan secara unilateral tanpa rundingan boleh mencetuskan pertikaian industri dan menjejaskan keharmonian hubungan pekerjaan.
“Dalam masa sama, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diberi perhatian serius, termasuk isu ergonomik, keselamatan tempat kerja di rumah serta risiko kesihatan mental.
“UNI-MLC mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan garis panduan nasional berkaitan pelaksanaan BDR, selain menggalakkan kemasukan klausa khusus dalam perjanjian kolektif bagi memperincikan hak, tanggungjawab dan perlindungan pekerja.
“Pendekatan kerja anjal merupakan langkah progresif, namun ia mesti dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan hak pekerja, sebaliknya memperkukuh kesejahteraan dan produktiviti secara menyeluruh,” katanya.- UTUSAN









