Buka sektor sesuai untuk penuhi keperluan PdPR, BDR - Utusan Malaysia

Buka sektor sesuai untuk penuhi keperluan PdPR, BDR

Kedai buku antara yang terjejas ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan apabila tidak dibenarkan beroperasi namun menyukar orang ramai mendapatkan bahan berkaitan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan beberapa sektor ekonomi yang seiring dengan keperluan rakyat perlu dilakukan bagi memudahkan urusan orang ramai semasa menghadapi tempoh sekatan kawalan pergerakan penuh.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, sektor-sektor tertentu hanya dibuka pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara yang hanya boleh dilakukan jika jangkitan harian Covid-19 turun ke paras 4,000 kes.

Katanya, perkara berkenaan sangat menyukarkan kerana semua pihak maklum bahawa sektor ekonomi seperti kedai buku, komputer dan telekomunikasi penting berikutan adanya keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Bekerja Dari Rumah (BDR).

“Kita sangat berharap supaya kerajaan dapat mempertimbang sektor-sektor tersebut dapat dibuka, walaupun bukan secara menyeluruh.

“Contohnya sektor-sektor itu boleh dibuka hanya di pasar raya terlebih dahulu seperti kedai buku yang sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna. Sektor itu amat diperlukan dalam keadaan sekarang tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sektor ekonomi seperti kedai buku, komputer dan telekomunikasi hanya dibuka pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed pula berkata, berdasarkan kepada Pelan Pemulihan Negara yang disandarkan kepada tiga alternatif, maka ia jelas menunjukkan kesukaran penurunan ke fasa dua sekali gus menggambarkan fasa satu berkemungkinan mengambil masa lebih panjang.

Katanya, kebenaran sektor seperti kedai alat tulis dan sebagainya yang menjadi keperluan harian rakyat serta tidak terhad dalam sektor makanan sahaja perlu dibenarkan walaupun PPN masih dalam tempoh fasa satu.

“Sektor-sektor tersebut yang tidak melibatkan perhimpunan orang ramai seharusnya dipertimbang untuk dibenarkan pengoperasiannya. Kita suruh orang duduk rumah, tetapi kedai tidak buka, maka bagaimana hendak baik jika ada kerosakan?

“Kerajaan mengambil kira perkara tersebut dan kelonggaran demi kelonggaran diberi seperti sebelum ini . Namun, sekarang kita masih lagi tersangkut di fasa satu yang tidak menentu pengakhirannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN