KANGAR: Dua lelaki termasuk seorang wanita masing-masing sebagai koordinator dan transporter bertindak berani membawa dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram dianggarkan bernilai RM25.5 juta.
Bagaimanapun, keberanian mereka tidak berbaloi selepas dua kenderaan jenis Honda Civic masing-masing dinaiki suspek berkenaan bagi membawa barangan terlarang itu ditahan polis menerusi serbuan di Jalan Utama Wang Kelian, pada 24 Mac lalu, hasil maklumat risikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan 20 guni mengandungi 500 paket plastik berisi dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram.
Katanya, susulan tangkapan itu, serbuan seterusnya dijalankan di sekitar Wang Kelian pada 27 dan 28 Mac yang membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga tempatan.
“Semakan mendapati rampasan semua dadah berkenaan adalah dianggarkan bernilai kira-kira RM25.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Hussein berkata, siasatan mendapati suspek pertama memainkan peranan sebagai koordinator manakala suspek kedua dan ketiga pula sebagai transporter serta selebihnya berperanan sebagai peninjau keselamatan.
Katanya, sindiket itu juga dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dan rampasan berkenaan merupakan kes terbesar direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Polis turut menyita beberapa kenderaan seperti sebuah pick up jenis Isuzu, kenderaan utiliti sukan jenis Honda CRV, motosikal jenis Yamaha Y16, Yamaha NVX dan beberapa lagi.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengurus dan mengambil bekalan dadah di dalam hutan berdekatan kawasan Wang Kelian-Kaki Bukit yang diseludup masuk melalui laluan haram dari sempadan.
“Bekalan dadah tersebut kemudian akan dibawa ke satu tempat transit di sekitar Perlis untuk pasaran tempatan,” katanya.
Hussein berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek lelaki terlibat positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita pula negatif sebarang jenis dadah.
Katanya, semakan rekod turut mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya. – UTUSAN










