Bapa dipenjara 21 tahun noda anak berusia enam tahun

Bapa dipenjara 21 tahun noda anak berusia enam tahun

SEORANG lelaki dihukum penjara 21 tahun beserta 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berusia enam tahun bulan lalu.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga ayam dijatuhkan hukuman penjara 21 tahun beserta 24 sebatan oleh dua Mahkamah Sesyen berbeza di sini setelah mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya sendiri yang berusia enam tahun, bulan lalu.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada enam orang anak itu dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Zainol dan Nor Aziati Jaafar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh berusia 43 tahun itu didakwa empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya bersama kekasih yang juga ibu mangsa berusia 46 tahun.

Tertuduh turut didakwa dengan empat pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan kanak-kanak terbabit.

Dia juga didakwa dengan dua pertuduhan meliwat mangsa, satu pertuduhan merogol mangsa serta dua pertuduhan lagi iaitu membuat bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk rakaman video ke atas mangsa sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah setinggan dekat Kampung Kempas Baru, Kempas di sini antara 22 Januari lalu hingga 17 Februari lalu.

Atas semua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 14(B), Seksyen 15C dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017) serta Seksyen 377C dan juga Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah memberikan hukuman penjara ringan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja serta enam orang anak yang masih kecil.

“Saya mohon hukuman diringankan, saya ada tanggungan isteri yang menghidap kanser serta enam orang anak kecil, paling kecil berusia tiga tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin bagaimanapun meminta mahkamah memberikan hukuman penjara tempoh panjang kepada tertuduh kerana mengambil kira mangsa adalah anak kandungnya sendiri.

“Tertuduh selaku bapa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak itu tetapi dia telah mengambil kesempatan terhadap mangsa. Susulan kejadian ini mangsa akan mengalami trauma sepanjang hidupnya.

“Oleh itu, tempoh penjara lama akan menjadi pengajar kepada tertuduh dan juga masyarakat awam agar perbuatan tersebut tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Selain Nur Farah Wahida, kes turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Manushri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN