KOTA TINGGI: Sebahagian penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pengerang, Punggai di sini terpaksa pindah keluar sementara dari kediaman masing-masing susulan kebakaran hutan yang berlaku di kawasan berhampiran sementara operasi pemadaman oleh pihak bomba selesai sepenuhnya.
Seorang penduduk, Nor Diana Abdul Aziz, 60, berkata, kawasan sekitar kediamannya masih diliputi asap tebal dengan bau hangit yang agak kuat sehingga menjejaskan keselesaan penduduk.
Katanya, walaupun pintu dan tingkap rumah ditutup rapat, asap serta habuk masih memasuki ruang kediaman menyebabkan keadaan semakin tidak selesa untuk didiami.
“Oleh itu, saya buat keputusan untuk berpindah keluar sementara menunggu operasi pemadaman selesai. Buat masa ini kami menumpang di rumah ahli keluarga di Kampung Tersusun Punggai sejak Selasa lalu,” katanya ketika ditemui semalam.
Nor Diana berkata, dia telah menetap di PPR Seri Pengerang sejak Ogos tahun lalu dan kejadian kebakaran hutan ketika sambutan Aidilfitri ini merupakan pengalaman pertamanya menghadapi situasi sedemikian.
Katanya, walaupun PPR tersebut masih belum penuh dihuni dan banyak unit kosong, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga selepas dinasihatkan ahli keluarga agar tidak terus berada di kediaman buat sementara waktu.
“Saya berharap keadaan akan kembali pulih segera supaya kami dapat kembali ke rumah seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, kira-kira 50 peratus daripada 10 hektar kawasan kebakaran belukar berhampiran telah berjaya dipadamkan setakat ini.
Menurutnya, kebakaran melibatkan tanah gambut menyukarkan operasi pemadaman kerana api turut merebak di bawah permukaan tanah.
“Faktor cuaca panas dan berangin serta struktur tanah gambut turut menyukarkan pergerakan jentera bomba di lokasi kejadian,” katanya.
Ezam berkata, operasi pemadaman bagi kawasan kebakaran hutan seluas kira-kira 150 hektar di Lebuhraya Bypass Punggai kini hanya berbaki sekitar 25 hektar untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kata beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menggerakkan seramai 35 pegawai dan anggota bomba bagi pelaksanaan operasi pemadaman kebakaran tersebut.
“Seramai 35 pegawai dan anggota bomba dikerah untuk mengawal kebakaran, pada masa sama kita turut mendapat bantuan daripada pelbagai agensi lain termasuklah polis (3 orang), pihak berkuasa tempatan (5 orang), Angkatan Pertahanan Awam (15 orang) serta Jabatan Alam Sekitar (2 orang).
“Sejak kebakaran bermula awal minggu lalu, operasi pemadaman telah dilaksanakan selama 24 jam sehari melibatkan dua syif bagi memastikan anggota bertugas dapat memberitahu perkhidmatan terbaik,” tambahnya.-UTUSAN










