Anis Rizana antara 6 pegawai kerajaan bertukar jawatan

Anis Rizana antara 6 pegawai kerajaan bertukar jawatan

ANIS RIZANA MOHD. ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin merupakan antara enam pegawai kerajaan yang bertukar penempatan susulan pelantikan baharu bagi jawatan Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa Isnin ini.

Beliau yang sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan pentadbiran awam selaras dengan tuntutan reformasi perkhidmatan awam.

Menurut beliau, antara perubahan lain ialah pelantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.

“Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, akan bertukar penempatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Tempat beliau di Kementerian Belia dan Sukan akan digantikan oleh Datuk Rahimi Ismail ketika ini Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, Datuk Noor Azman Abdul Rahman sebagai Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau berkata, Datuk Amran Ahmad yang kini Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pula dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut Shamsul Azri, perubahan tersebut merupakan manifestasi kepada tuntutan reformasi yang memerlukan kepantasan serta ketangkasan dalam pentadbiran kerajaan.

“Perkhidmatan awam perlu lebih telus dan berintegriti bagi melahirkan sektor awam yang lebih berdaya saing serta relevan dengan peredaran zaman.

“Berlandaskan prinsip taa setia, setiap pelantikan ini membawa amanah besar untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja serta negara dalam merealisasikan visi Malaysia Madani,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN