PETALING JAYA: Semua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) berada dalam keadaan selamat dan kini berlindung di dalam bunker atau kubu pertahanan yang diselaraskan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, langkah itu diambil sebagai sebahagian prosedur keselamatan susulan perkembangan situasi semasa di negara berkenaan.
“(Mereka) dalam keadaan selamat dengan langkah berjaga-jaga. Anggota Malbatt berada di dalam bunker pertahanan yang diselaraskan UNIFIL.
“ATM sentiasa memantau situasi di sana dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan anggota berada pada tahap optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Serangan Israel ke atas Lubnan kelmarin dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 52 orang dan mencederakan 154 yang lain susulan konflik antara negara itu dengan Iran.
Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya bersedia untuk diatur gerak bagi melaksanakan proses evakuasi sekiranya kerajaan mengaktifkan pelan tersebut untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari negara Asia Barat.
Menurutnya, TUDM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi termasuk dari segi aset, logistik serta penugasan anggota.
“Jika diarahkan, TUDM tanpa gagal akan melaksanakannya,” katanya.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan keadaan di Qatar dan beberapa negara Asia Barat masih terkawal walaupun persekitaran keselamatan di rantau itu tidak menentu susulan ketegangan serantau yang menjejaskan pergerakan serta keselamatan orang awam.
Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti dan memantau perkembangan semasa namun belum membuat keputusan untuk mengaktifkan pelan evakuasi.-UTUSAN










