PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan diklasifikasikan sebagai bahaya berkuat kuasa sehingga esok melibatkan beberapa daerah di Sabah.
Ketua Pengarah Met Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, kawasan yang dijangka berdepan amaran hujan berterusan kategori buruk itu melibatkan daerah Sandakan iaitu Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan serta Kudat.
“Amaran hujan berterusan (waspada) pula melibatkan Kuching, Serian dan Samarahan (Sarawak) serta kawasan Pantai Barat (Ranau) dan Tawau (Lahad Datu) (Sabah),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Met Malaysia menasihatkan orang awam di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan berisiko, dan merancang perjalanan dengan sewajarnya berikutan keadaan cuaca buruk.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil MyCuaca dan media social rasmi Met Malaysia. – UTUSAN











