KUALA NERUS: Semangat keprihatinan warga alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus dizahirkan menerusi penganjuran program Jalinan Kasih Ramadan, Iftar Amal Alumni UMT 2.0, di sini.
Program Penganjuran Pusat Alumni UMT itu bertujuan menyantuni serta meraikan seramai 86 penghuni rumah kebajikan daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar.
Pengarah Pusat Alumni UMT, Prof Madya ChM.Dr.Mohd.Zul Helmi Rozaini berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar aktiviti kebajikan bermusim, sebaliknya menjadi platform utama dalam memperkukuh jaringan antara alumni dengan universiti.
“Alumni UMT bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional masing-masing, malah terus komited menyumbang tenaga dan rezeki demi kesejahteraan komuniti.
“ Ini membuktikan peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam menyemai nilai ihsan dan tanggungjawab sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof.Dr. Mohd.Izani Mohd Zain turut menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan berjumlah RM2,610 hasil kutipan ikhlas daripada warga alumni dan staf universiti.
Sementara itu, Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Ahmad Irsyad Mustaqim Zamri menzahirkan penghargaan atas kesudian warga universiti turun padang menyantuni anak-anak jagaan mereka.
“ Sumbangan ini amat bermakna buat anak-anak di sini dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung keperluan harian termasuk makanan, kelengkapan pembelajaran serta kebajikan asas,” katanya.
Selain sesi berbuka puasa, pengisian program turut diserikan dengan slot motivasi yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi Pejabat Pendaftar UMT, Wan Nor Ahmad Syaifuddin Wan Norazmi yang menekankan kepentingan pembinaan sahsiah dan jati diri sejak usia muda.
Hadir sama ialah barisan pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Persatuan Alumni UMT serta wakili Majlis Perwakilan Pelajar. – UTUSAN










