KUALA NERUS: Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, remaja yang ditemukan maut selepas hilang jejak ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands, Pahang baru dua bulan bekerja sebagai barista di sebuah kedai berhampiran Jambatan Angkat, di sini.
Pengurus kedai berkenaan yang hanya dikenali sebagai Pak Ngah, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen, 19, adalah Khamis lalu selepas tamat waktu kerja kira-kira pukul 6 pagi.
Katanya, ketika itu tiada sebarang perubahan dilihat pada diri Allahyarham malah mereka sempat bersalaman sebelum remaja itu pulang ke rumahnya di Kampung Batin, di sini.
“Arwah ada memberitahu rakan-rakannya bahawa dia mahu ke Cameron Highlands bersama keluarga kerana hari Jumaat adalah cuti rehatnya.
“Sepanjang bekerja di sini, arwah pekerja yang baik, datang tepat pada waktunya tetapi agak pendiam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Pak Ngah berkata, Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen sepatutnya masuk bekerja pada malam Jumaat, namun tidak hadir sebelum dimaklumkan bahawa remaja itu dilaporkan hilang.
“Sebelum itu saya dimaklumkan rakan-rakan sekerjanya bahawa arwah hilang dan mereka juga cuba mencarinya di lokasi terakhir dia dilihat. Saya tidak sangka kejadian ini menimpa arwah” katanya.
Ahmad Azreeq Zafreen yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dilaporkan kali terakhir dikesan berada di stesen minyak Petron Beting Lintang, Besut, dekat sini, Khamis lalu sebelum kehilangan jejak.
Sebelum itu, ibunya, Zaleha Awang bersama suaminya, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, dan lima anak mereka merancang bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti panjang hujung minggu.
Difahamkan, ibu bapa mangsa bersama empat anak yang lain menaiki kereta manakala Ahmad Azreeq Zafreen menunggang motosikal secara berasingan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab. Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa di Kampung Bukit Jeruk kira-kira pukul 6.40 petang, semalam.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah ( HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat dan disolatkan di Masjid kHalifah Jalan Pusara selepas zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim. – UTUSAN











