PETALING JAYA: Sambutan Aidilfitri di Semenanjung Gaza tahun ini dijangka berlangsung dalam suasana paling pilu dan kritikal dengan tumpuan rakyat Palestin beralih sepenuhnya daripada meraikan kemenangan kepada usaha untuk terus bertahan hidup.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, persiapan raya di wilayah terkepung itu hampir tidak wujud memandangkan majoriti penduduk masih berlindung di khemah sementara, sekolah dan kawasan terbuka.
“Hakikatnya, Aidilfitri di Gaza pada tahun ini lebih kepada hari untuk kelangsungan hidup dan bukannya hari perayaan seperti yang dinikmati umat Islam di negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, tiada sebarang persiapan pakaian raya, makanan istimewa atau sambutan keluarga seperti biasa dapat dilakukan oleh penduduk di sana buat masa ini.
Katanya, aktiviti sepanjang Ramadan seperti solat tarawih dan iftar juga terpaksa dilaksanakan dalam keadaan serba kekurangan serta terdedah kepada ancaman keselamatan yang tidak menentu.
Mohd. Azmi berkata, situasi tersebut diburukkan lagi dengan kesan langsung perang antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang menyebabkan penutupan sempadan dan sekatan bantuan kemanusiaan yang serius.
“Semua lintasan utama ke Gaza ditutup akibat konflik serantau sehingga menyebabkan bekalan makanan dan bantuan perubatan terganggu dengan kritikal.
“Jika konflik ini berlanjutan sehingga September, krisis kemanusiaan di Gaza akan lebih parah selain menyebabkan bantuan antarabangsa semakin tidak konsisten,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Op Ihsan merangkap Presiden Humanitarian Aid Refugees (Mahar), Jismi Johari berkata, persiapan Aidilfitri di Gaza kini dilakukan dalam berhati-hati.
Beliau berkata, langkah berwaspada itu diambil susulan tindakan rejim Zionis yang mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza sejak 1 Mac lalu.
“Ketiadaan bekalan masuk menyebabkan barangan keperluan harian semakin berkurangan di pasaran selain harga mula meambung ekoran ketegangan perang Iran-Israel.
“Rakyat Palestin juga dijangka solat Aidilfitri di jalanan, kawasan terbuka serta di celah runtuhan masjid memandangkan akses ke Masjid Al-Aqsa ditutup hampir sepanjang Ramadan,” katanya. – UTUSAN











