KUALA LUMPUR: Seramai 725 pelajar diraikan dalam Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk dan Hari Apresiasi Peningkatan Al-Quran dan Hafazan yang dianjurkan oleh institusi pendidikan Al-Quran, Hatimurni bersempena sambutan Nuzul Al-Quran.
Pengasas Hatimurni, Siti Khadijah Mohni berkata, antara perjuangan utama institusi itu adalah untuk menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama yang kukuh kepada anak-anak.
“Pendidikan Al-Quran bukan sekadar membaca atau menghafaz, sebaliknya menjadi asas penting dalam membina akidah yang kukuh, akhlak yang baik serta kefahaman agama yang jelas dalam diri generasi muda.
“Hatimurni percaya pendidikan Al-Quran mampu membantu membentuk generasi yang mempunyai pegangan agama yang kuat serta akhlak terpuji,” katanya.
Tambah Siti Khadijah, dalam era digital masa kini, anak-anak mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang boleh memberi kesan kepada cara berfikir, akidah dan akhlak mereka.
“Pendidikan Al-Quran perlu terus diperkukuhkan agar generasi muda bukan sahaja mampu membaca dan menghafaz Al-Quran, malah memahami serta menghayati nilai-nilai yang terkandung di dalamnya.
“Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para pelajar, malah turut memberi inspirasi kepada ibu bapa serta masyarakat untuk terus memartabatkan Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan,” kongsinya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut menghimpunkan kira-kira 1,500 ibu bapa serta ahli keluarga yang hadir bagi memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang menunjukkan peningkatan dalam bacaan Al-Quran dan hafazan.
Program tersebut dirasmikan oleh wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Syed Fahmi Akmal Syed Isa yang turut menghargai usaha berterusan Hatimurni dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran program berkenaan antara lain bertujuan menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran, meraikan pencapaian pelajar dalam bacaan serta hafazan Al-Quran selain melaksanakan bacaan 30 juzuk secara berjemaah sebagai simbol kecintaan terhadap kitab suci umat Islam.
Majlis tersebut turut diselitkan dengan bacaan doa selamat khusus buat pelajar Hatimurni Online yang berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) agar sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.










