PETALING JAYA: Sebanyak 7,000 bubur lambuk dan bubur infaq diagihkan sepanjang Ramadan bagi memeriahkan suasana berbuka puasa dan mengimarahkan masjid sekitar Parlimen Sungai Buloh.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, daripada jumlah tersebut, 5,000 bubur lambuk diagihkan di bazar-bazar Ramadan sekitar kawasan itu manakala 2,000 lagi merupakan Bubur Infaq Jumaat yang diedarkan ke semua masjid dalam Parlimen Sungai Buloh.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta menyantuni masyarakat setempat sepanjang bulan yang mulia ini.
“Bubur lambuk bukan sekadar juadah berbuka puasa, tetapi simbol kebersamaan, semangat gotong-royong dan kasih sayang dalam masyarakat.
Setiap kali Ramadan menjelang, tradisi ini sentiasa mengingatkan kita bahawa keberkatan itu lebih bermakna apabila dikongsi bersama,” katanya menerusi laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut turun padang mengagihkan hampir 300 bubur lambuk kepada pengunjung di Bazaar Ramadan Subang Perdana.
Dalam program tersebut, beliau turut mengambil kesempatan menyantuni para peniaga yang gigih mencari rezeki sepanjang Ramadan selain beramah mesra dengan pengunjung termasuk kanak-kanak yang hadir bersama keluarga masing-masing.
Katanya, melihat senyuman dan keterujaan masyarakat menerima juadah berbuka menjadi satu kepuasan yang sukar digambarkan.
“Inilah semangat Ramadan, memperkukuh silaturahim, menyantuni masyarakat dan memastikan suasana muhibah dirasai sepanjang bulan yang mulia ini.
“Diharapkan usaha seumpama ini dapat terus menyemai rasa kekeluargaan, keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan warga Parlimen Sungai Buloh pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










