Banjir: Lembangan Sungai Buloh terima hujan melebihi purata bulanan

Banjir: Lembangan Sungai Buloh terima hujan melebihi purata bulanan

Senyar Selangor
KEADAAN banjir yang melanda di Taman Saujana Aman akibat limpahan air dari Sungai Buloh di kawasan berkenaan dekat Ijok, di Kuala Selangor, Selangor, kelmarin. - Ihsan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kawasan di sepanjang lembangan Sungai Buloh dilapor menerima kadar taburan hujan paling tinggi bermula 24 November lalu dengan bacaan yang dicatatkan sebanyak 228 milimeter (mm).

Justeru, keadaan itu dipercayai menjadi punca kepada limpahan air yang berlaku di kawasan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh serta di Kampung Seri Sentosa dan Taman Saujana Aman, Ijok.

Malah, ia turut menyebabkan laluan dari Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor itu ke Bandar Puncak Alam terputus akibat banjir.

Limpahan akibat hujan berterusan dan lebat berlaku hingga kelmarin menyebabkan lebih 2,100 penduduk berpindah ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) apabila lebih 500 buah rumah dilanda banjir.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, secara keseluruhan tujuh lembangan sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Klang, Langat, Bernam, Kapar Besar, Selangor, Buloh dan Sepang menerima taburan hujan antara 51 hingga 228mm.

Sementara sub lembangan sungai utama seperti Sungai Binjai, Damansara, Ampang, Lui, Bakul dan Labu pula menerima taburan hujan antara 76 hingga 140mm. Sungai Damansara mencatatkan bacaan tertinggi sehingga mengakibatkan banjir kilat di sekitar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya dan Batu Tiga.

“Rekod bacaan hujan adalah dalam tempoh lima jam. Lembangan Sungai Buloh mencatatkan bacaan hujan paling tinggi pada hari kejadian iaitu 20 peratus lebih daripada kadar purata sebulan (186.5mm) bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Jelasnya pada 24 November lalu, kesemua lembangan sungai dan sub-lembangannya menerima hujan dalam tempoh masa yang lama dan menyebabkan berlaku banjir di 65 lokasi.

Berdasarkan maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 2,900 mangsa banjir di Selangor sebanyak 2,972 mangsa terdiri daripada 792 keluarga berpindah ke 22 PPS di seluruh negeri.

Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 1,144 mangsa dari 291 keluarga dipindahkan ke enam PPS. PPS SK Desa Aman di Ijok menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 942 orang dari 231 keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN