PETALING JAYA: Seramai 400 penduduk kurang bernasib baik di Parlimen Nibong Tebal menerima sumbangan dalam bentuk baucar pasar raya bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri.
Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal Tahun 2026/1447 Hijrah yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal hari ini.
Fadhlina berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja memberikan keceriaan kepada penerima malah turut membantu golongan itu membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Katanya, beliau sentiasa prihatin terhadap keperluan pelbagai segmen masyarakat di kawasan Nibong Tebal dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.
“Pelbagai bentuk bantuan disediakan demi rakyat di Nibong Tebal termasuk persiapan persekolahan anak-anak dan bagi menghadapi semua perayaan.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan global akibat krisis berterusan di Asia Barat, kerajaan Madani sentiasa berikhtiar memastikan sumber negara digunakan secara optimum dan bantuan terbaik dapat diberikan secara bersasar untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
Difahamkan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal turut akan menyampaikan sumbangan barang mentah makanan kepada penduduk menjelang sambutan Aidilfitri. – UTUSAN










