12 rakyat Malaysia positif dadah berhibur di Hat Yai

12 rakyat Malaysia positif dadah berhibur di Hat Yai

SERAMAI 12 rakyat Malaysia yang berhibur di sebuah pusat hiburan di Hat Yai, Thailand ditahan selepas positif dadah. – IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI: Seramai 12 rakyat Malaysia ditahan selepas positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan terkenal di bandar ini, kelmarin.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif pil kuda dan ganja.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Hat Yai berkata, operasi bersepadu Bahagian Narkotik Polis Wilayah 9 dengan kerjasama Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 itu dijalankan susulan maklumat risikan mengenai aktiviti penjualan serta penggunaan dadah di premis berkenaan.

Katanya, seramai 56 anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi yang dilancarkan kira-kira pukul 3 pagi semalam di sebuah pusat hiburan di Jalan Thammanoonvithi, di sini.

“Dalam operasi tersebut, pi­hak berkuasa memeriksa 223 pengunjung yang berada di premis ber­kenaan termasuk menjalankan ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian mendapati enam pelancong rakyat Malaysia po­sitif ganja, empat positif pil kuda manakala dua lagi positif kedua-dua jenis dadah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jurucakap itu berkata, semua individu terbabit diambil kete­rangan sebelum diproses mengikut undang-undang Thailand bagi tindakan lanjut.

Katanya, siasatan turut tertumpu kepada usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai aktif di pusat hiburan itu termasuk kemungkinan melibatkan sindiket penyeludupan rentas sempadan.

“Operasi ini susulan penahanan lima individu pada 25 Februari lalu di bandar ini yang melibatkan dua pengedar dan tiga pengguna dadah.

“Anggota Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 menjalankan risikan lanjut pada 26 Februari lepas di pusat hiburan sama sebelum mene­mukan aktiviti mencurigakan berkaitan pengedaran dan penggunaan dadah dalam kalangan pengunjung,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×