TUGAS sebagai peguam sudah tentu hampir ada persamaan dengan peranan wakil rakyat seperti Mohd Fadzli Mohd Ramly walaupun berbeza aspek terminologi pengurusan, tetapi ke arah satu matlamat, iaitu membela kebajikan rakyat atau pelanggan supaya mereka bebas dan hidup aman.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly, 48, berkata, beliau masih aktif sebagai peguam yang mewakili banyak kes melibatkan penduduk setempat seperti di Muadzam Shah, kes penduduk menuntut hak milik tanah daripada dicerobohi di Mahkamah Tinggi Kuantan dan berjaya memenangi kes tersebut.

“Oleh kerana kawasan Pahang Timur, iaitu sekitar Rompin, Pekan dan Kuantan juga terdapat kalangan minoriti masyarakat Orang Asli, saya juga pernah mewakili mereka dalam beberapa kes mengenai pemilikan tanah hak Orang Asli dan kehidupan (survival) hutan seperti melibatkan hidupan liar terutama aspek perundangan,” katanya di Rompin, Pahang baru-baru ini.
Mohd. Fadzli yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2023 berkata, tugasnya sama seperti rakan lain yang bertanggungjawab melaporkan sepenuhnya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebarang isu kebajikan dan kepentingan rakyat termasuklah pembangunan seluruh Pahang.
“Selain usaha mengangkat aspek pembangunan dan kebajikan rakyat, saya ada minat yang mendalam berkaitan pelaksanaan undang-undang dan syariah selain sering membantu kerajaan negeri dalam isu tanah terutama ketika perbahasan dalam DUN Pahang,” katanya.
Mohd. Fadzli berkata, ketika tiada urusan guaman, lazimnya beliau turun ke kawasan terutamanya di Pahang Timur sehari suntuk dan cuba menyelesaikan sendiri semua aduan rakyat sama ada yang dilaporkan menerusi telefon, sesi live di Tiktok dan laman Facebook.
Mengulas mengenai cabaran ketika melawat sesebuah kawasan, Mohd. Fadzli berkata, jarak perjalanan yang jauh, muka bumi yang luas malahan kerap kali terpaksa menyeberangi Laut China
Selatan ketika bertemu dengan penduduk di Pulau Tioman kini sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya.
“Kos pengangkutan juga tinggi, iaitu tambang feri ke Pulau Tioman sebanyak RM150 dan sekiranya ada perkara terdesak dan perlu segera ke sana, sebagai alternatif kena menyewa bot laju dengan kadar RM2,000.
“Keadaan ribut dan gelombang yang tidak menentu Monsun Timur Laut perlu didepani dengan tawakal ketika dalam perjalanan ke Pulau Tioman meredah laut dengan bantuan kenderaan bot laju,” ceritanya lagi.
Mengenai aktiviti bersama anak muda di Rompin, Mohd. Fadzli berkata, beliau teruja dan kerap kali mengadakan advokasi dengan golongan tersebut untuk mendengar aspirasi dan kehendak mereka khususnya dalam bidang keusahawanan, pendidikan, sukan dan sebagainya termasuk juga mempedulikan kalangan belia Orang Asli.
“Kita telah membantu menubuhkan program anak muda Gerbang Seni anak Rompin iaitu berhasrat memartabatkan budaya dan kesenian di Rompin termasuk Orang Asli sendiri supaya agenda berkenaan tidak pupus selain bermanfaat dari segi tarikan pelancongan,” katanya.
Mohd. Fadzli yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang berkata, daripada segi politik pula, tugasnya membantu parti mengimbangi fahaman ekstrem perkauman, agama dan menerapkan Islam sebagai rahmat untuk semua.

BIODATA MOHD. FADZLI MOHD. RAMLY
Usia: 48 Tahun
Asal: Kampung Kuala Pontian, Kuala Rompin, Pahang
Pendidikan tinggi:
* Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dalam bidang Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tahun 2023
Pekerjaan:
* Peguambela Sivil dan Peguam Syariah Pahang
Jawatan Dalam Kerajaan Negeri:
* Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan
Jawatan Dalam Politik:
* Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Pahang
“Bagi semua penduduk yang berbilang fahaman dan parti, saya bertanggungjawab menyebarluaskan nilai kasih sayang, peradaban tanpa perasaan curiga kepada bangsa lain, mengelakkan kebencian perkauman melampau dan tindakan melabelkan sesama Islam sebagai murtad.
“Dalam hal ini, saya pernah dituduh murtad ketika sidang di DUN Pahang dan terpaksa bangkit mempertahan hanya kerana tidak lagi bersama sebuah parti pembangkang. Budaya melabelkan dengan cara sama ada bergurau atau serius berkaitan akidah sangat tidak wajar dan fahaman ‘Ghuluw’ perlu ditolak,” katanya.
Tegasnya, menjadi misi perjuangan dalam Parti Amanah Negara menyebarkan syiar Islam dengan cara yang lebih inklusif, rahmah dan penuh hikmah ketika mendekati penduduk Rompin.
“Saya telah berhujah mencadangkan Pahang perlu kepada penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai Mahkamah yang tertinggi di Pahang ketika ucapan sulung saya membahaskan bajet 2025 tahun lalu,” katanya.
Beliau gembira ketika sidang pembukaan DUN Pahang 2025, telah meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Pahang 2025 yang membuka laluan kepada penubuhan Mahkamah Utama Syariah Pahang pada tahun lalu yang merupakan sejarah besar undang-undang Syariah Pahang.
Tambahnya, beliau juga pernah mencadangkan penubuhan kamar khas di DUN Pahang seperti di Parlimen untuk membincangkan isu rakyat secara spesifik dengan melibatkan kehadiran ketua jabatan bagi membolehkan mereka menjawab terus aduan seperti menyegerakan hak milik (geran) tanah kediaman, isu air dankemudahan asas.
Dalam pada itu Mohd. Fadzli berkata, dia mengutamakan perancangan kawasan luar bandar yang terbiar di Rompin dengan mengangkat isu kekurangan kemudahan asas serta menyuburkan pemikiran rakyat yang terbuka.
Beliau meletakkan sasaran dalam tempoh kurang 24 jam seperti bantuan ke hospital, peralatan kesihatan yang boleh didapati daripada premis berdekatan termasuk ketika menziarahi kematian dan kebajikan mangsa bencana dalam menyelesaikan hal-hal kecemasan. -UTUSAN










