Warga emas dipenjara lapan tahun amang sekssual dua budak

Warga emas dipenjara lapan tahun amang sekssual dua budak

TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli turut memerintahkan tertuduh lelaki berusia 64 tahun itu dikenakan dua sebatan atas kesalahan membabitkan pertuduhan berasingan.

Beliau juga mengarahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun empat bulan di hadapan koridor bilik Pendidikan Seni Visual (PSV) sebuah sekolah dalam daerah ini antara pukul 6 petang hingga 8 malam pada 22 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia tujuh tahun lima bulan di hadapan kelas di sekolah berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

Lokasi itu ketika kejadian berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir dan tertuduh serta mangsa adalah penghuninya..

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kes pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh sabitan serta satu sebatan.

Bagi kes kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan yang dijalankan secara berturutan selepas selesai menjalani hukuman bagi kes pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×