PETALING JAYA: Seramai 10 orang penganut dan wakil pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran, Gombak terlibat menjalankan kerja-kerja pemindahan kesemua empat patung berhala di premis berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, beliau mengesahkan kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran telah dilaksanakan dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, proses berkenaan berlangsung semalam bermula pukul 9.30 malam dan berakhir pada 4.12 pagi tadi.
“Pihak pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak kuil tersebut pada awal pagi selepas segala urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan kuil.
“Sepanjang proses tersebut berlangsung, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Shazeli mengingatkan semua pihak supaya terus menghormati saluran perundangan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta agama.
Katanya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan serta pemilik tanah yang sah.
“Pihak polis akan memantau ketat penularan maklumat di media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap penyebaran kandungan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, empat lelaki ditahan pada 12 Februari lalu kerana dipercayai terlibat dalam kejadian merobohkan sebuah kuil di Rawang dekat sini.
Shazeli berkata, siasatan mendapati sebahagian kuil berkenaan telah dirobohkan tanpa sebarang perbincangan dan tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengadu. – UTUSAN











