Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan gagasan strategik 2026 bertemakan “The Brain of Borneo”, menandakan satu fasa baharu transformasi universiti itu sebagai institusi ilmu berjiwa, berintegriti serta berimpak global.
Pelancaran dilakukan sempena Majlis Amanat Naib Canselor 2026 oleh Prof Datuk Dr Kasim Mansor, mencerminkan komitmen UMS untuk memperkukuh kedudukannya sebagai autoriti keilmuan di Borneo, selain memperluas kupayaan sebagai rakan strategik disegani di peringkat antarabangsa.
“Selepas lebih tiga dekad penubuhan, UMS kini melangkah dengan pendekatan lebih berfokus, berteraskan nilai dan berorientasikan impak, selari dengan keperluan rakyat Sabah dan aspirasi negara,” katanya.
Beliau berkata, UMS memperkenalkan BRAIN sebagai nilai bersama universiti yang menjadi kompas moral dan teras kepimpinan warga kampus sebagai asas pembentukan budaya institusi itu.
Katanya, BRAIN merangkumi lima nilai utama iaitu Beneficent (Bermanfaat) menekankan manfaat nyata kepada masyarakat melalui ilmu dan penyelidikan, Resilient (Berdaya Tahan) memastikan universiti kekal berdaya tahan dan kompetitif, Authentic (Asli) dengan peneguhan identiti serta kearifan Borneo, Inclusive (Inklusif) yang menjunjung keterangkuman dan kepelbagaian serta Nurture (Memupuk) dalam memupuk bakat dan kepimpinan secara mampan.
Kasim berkata, nilai itu bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas pembentukan budaya kerja, kepimpinan dan rasa kebersamaan dalam kalangan warga universiti. – UTUSAN










