GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ mengenai dakwaan salah guna kuasa berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat yang mengaitkan namanya.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, buat masa ini, beliau kekal dengan pendirian untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu terbabit, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.
Ditanya mengenai desakan Pas negeri yang memintanya meletak jawatan, Mohamad mengambil pendekatan sama dengan enggan mengulas lanjut.
“Kenyataan media dan sidang akhbar oleh MAINPP telah dibuat tentang hal ini. Ini respons saya,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain memberitahu, polemik dan fitnah yang ditularkan terutamanya mengaitkan Mohamad dilihat berniat jahat iaitu semata-mata untuk menjejaskan imej institusi agama negeri.
Katanya, MAINPP hanya bertindak berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memperuntukkan kuasa penuh kepada institusi ini dalam hal ehwal pentadbiran Islam, termasuk pengurusan sosial masyarakat Islam serta pentadbiran dan pengagihan zakat.
Beliau berkata, MAINPP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tohmahan dan menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Semalam, Pas Pulau Pinang menggesa supaya Mohamad meletakkan jawatan susulan pendedahan salah guna kuasa dana zakat membabitkan institusi agama Islam di bawah seliaannya.
Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, tindakan berundur itu perlu dibuat bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memberi laluan kepada siasatan telus tanpa pengaruh kuasa.
“Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin,” katanya.
Satu kertas siasatan dilaporkan telah dibuka oleh SPRM terhadap seorang pegawai kanan kerajaan negeri kerana didakwa menyalah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang semasa Sidang DUN, hujung tahun lalu.
Selain itu, SPRM juga telah merakam percakapan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










