BERUAS: Jemaah Masjid An-Nasriyah, Jalan Raja Omar Simpang Empat, Sitiawan di sini dikejutkan dengan kejadian pecah tabung derma masjid oleh dua individu dalam insiden yang berlaku pada awal pagi semalam.
Pengerusi Masjid An-Nasriyah, Mohd. Helmi Arifin berkata, tiga tabung derma masjid itu didapati telah diumpil dan dirosakkan, sekali gus mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,000.
Katanya, selain melarikan wang derma, suspek turut bertindak memecahkan pintu kaca gelangsar masjid bagi membolehkan mereka menceroboh masuk ke ruang solat.
“Kejadian itu disedari pegawai masjid yang hadir menunaikan solat Subuh apabila mendapati pintu kaca gelangsar telah pecah, dipercayai diumpil oleh penjenayah terbabit untuk menceroboh masuk.
“Pemeriksaan kemudian mendapati tiga tabung di dalam ruang utama masjid telah diumpil dan wang di dalamnya turut diambil penjenayah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Helmi, kejadian itu amat dikesali kerana bukan sahaja berlaku pada bulan Ramadan, malah dipercayai terjadi selepas umat Islam menunaikan malam pertama solat sunat Tarawih.
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga pihak masjid akan mempertingkatkan keselamatan termasuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi mengelak kejadian berulang.
“Memang selepas solat kawasan masjid sunyi tapi pintu pagar semua bertutup rapat. Ini bukanlah kejadian pertama tabung derma masjid dipecahkan kerana sebelum ini insiden sama pernah berlaku.
“Pihak pengurusan majlis telah pun membuat laporan polis berkaitan kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup masjid berdurasi satu minit 16 saat yang memaparkan dua invidividu memakai baju panas ‘hoodie’ mengumpil tabung derma masjid sebelum melarikan wang berkenaan. – UTUSAN










