JOHOR BAHRU: Tiga individu yang bertindak meminta sumbangan dengan mengenakan kostum haiwan yang aktif berhampiran sebuah pusat beli-belah di Angsana Johor Bahru Mall, di sini ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kelmarin.
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memberitahu, operasi khas maskot itu dilaksanakan unit penguatkuasaannya bermula pukul 10 pagi hingga 9.30 malam.
Menurut kenyataan itu, lokasi tumpuan operasi adalah di sekitar pusat beli belah berkenaan serta persimpangan lampu isyarat di Jalan Padi Emas 1, di sini.
“Tujuan operasi dibuat adalah susulan peningkatan jumlah pengemis yang mengambil kesempatan meraih simpati orang awam dengan memakai kostum pelbagai karektor kanak-kanak.
“Sehubungan itu, tiga lelaki ditahan dan dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru untuk diambil maklumat latar belakang mereka. Ketiga-tiganya kemudian dibebaskan dengan amaran lisan dan bertulis,” kata kenyataan itu.
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru turut memberitahu tindakan di bawah Akta Orang Papa 1977 boleh diambil sekiranya perbuatan sama diulangi susulan ketiga-tiga mereka telah menandatangani aku janji.
Pada 22 Februari lalu, akhbar ini melaporkan beberapa individu yang mengemis sambil memakai kostum mampu beroleh pendapatan sehingga RM100 hanya dalam tempoh tiga jam. – UTUSAN











