Tiada halangan bawa isu perjanjian ART ke mahkamah - PM

Tiada halangan bawa isu perjanjian ART ke mahkamah – PM

ANWAR Ibrahim menjawab pertanyaan pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.-GAMBAR/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu membawa isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ke mahkamah untuk menilai semula tindakan kerajaan susulan keputusan terkini Mahkamah Agung AS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal tafsiran keputusan mengenai tarif timbal balas itu diserahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk dibuat daripada segi undang-undang.

Beliau berkata, kerajaan akan mempertahankan keputusan yang dibuat di peringkat awal dengan mengambil kira kepentingan negara sebagai sebuah negara dagang.

Katanya, dalam peruntukan sedia ada, kerajaan boleh mempertahankan kepentingan negara termasuk aspek keselamatan dan ekonomi, selain memastikan mana-mana peruntukan tidak akan mengetepikan kepentingan keselamatan negara serta kepentingan ekonomi negara.

“Kalau perkara itu masih dipertikai, ia boleh dibawa ke mahkamah untuk tafsiran lanjut dan sekarang Yang Berhormat dan beberapa Ahli Yang Berhormat bawa ke mahkamah, biar mahkamah tafsirkan.

“Saya tidak ada masalah sama sekali sama ada memihak kepada tuntutan pemula ataupun pendirian kerajaan sebelum ini, kerana bagi kita semua perjanjian 17 itu diluluskan dan di mana peruntukan yang ada persamaan dan perbezaan.

“Dia ada hak mempertikai, tetapi soal Mahkamah Agung AS membuat keputusan yang mempertikai bidang kuasa tertentu, itu harus kita teliti,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang memaklumkan beliau bersama ahli Parlimen Masjid Tanah, Pendang, Rompin dan Gerik akan membawa isu perjanjian ART ke mahkamah bagi menilai sama ada tindakan kerajaan selaras dengan Perlembagaan atau sebaliknya.

Media semalam melaporkan, lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memohon menyemak dan memperluas persoalan perlembagaan berhubung kesahihan perjanjian ART susulan keputusan terbaharu Mahkamah Agung AS yang memutuskan tindakan tarif Presiden Donald Trump sebagai tidak berperlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×