SEREMBAN: Prosiding sebutan semula kes lelaki warga tempatan yang didakwa dengan lima pertuduhan kerana memiliki bahan letupan di sebuah unit kediaman di Nilai di sini tahun lalu ditetapkan semula pada 13 Mac depan.
Ia selepas tertuduh, Yeoh Hock Sun, 63, gagal hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memaklumkan kepada Hakim , N. Kanageswari bahawa Hock Sun kini berada dalam kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Tertuduh tidak dapat hadir kerana sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak 3 Februari lalu.
“Pengesahan tersebut telah difailkan oleh pengarah penjara dan turut disahkan sendiri oleh doktor dari penjara,” katanya.
Norazihah kemudiannya, membuat permohonan tarikh sebutan untuk kehadiran tertuduh ke mahkamah dan pengesahan tahap kesihatannya daripada hospital.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan Hock Sun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang diibacakan kepadanya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada 9 Januari lalu.
Dia didakwa atas lima pertuduhan termasuk tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Hock Sun antaranya didakwa memiliki bahan letupan di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 22 Disember 2025, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Selain itu, dia turut didakwa secara salah dan dengan niat jahat menggunakan bahan letupan jenis bahan letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir Blok A, Apartment Desa Palma pada 22 Disember 2025, sekitar pukul 5.55 pagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tertuduh yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya.
Hock Sun mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat kejadian letupan di lokasi berkenaan.-UTUSAN










