Tengku Panglima Perang ziarah keluarga mendiang Indiran, beri semangat

Tengku Panglima Perang ziarah keluarga mendiang Indiran, beri semangat

TENGKU Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah (tengah) ketika menziarahi keluarga mendiang, Truper K. Indiran di Taman Sri Nibong, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah hari ini berkenan berangkat menziarahi keluarga mendiang, Truper K. Indiran, 22, di kediaman mereka di Taman Sri Nibong di sini.

Baginda yang tiba sekitar pukul 1 petang sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk berbual bersama ibu mendiang, S. Usha, 52, di samping memberi kata-kata semangat dan kekuatan kepada wanita itu yang masih dirundung kesedihan.

Usha ketika ditemui berkata, kunjungan Tengku Panglima Perang Pahang itu sedikit sebanyak memberi ketenangan dan semangat untuk dia dan ahli keluarganya yang lain meneruskan kehidupan selepas pemergian Indiran.

“Tengku datang ziarah anak saya yang sudah tiada, itu pun sudah cukup besar maknanya buat kami sekeluarga dan saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada Tengku.

“Tengku juga pesan kepada saya supaya ambil masa untuk tenang diri, kuatkan semangat dan jangan duduk seorang diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Selain Tengku Panglima Perang Pahang, turut meluangkan masa menziarahi keluarga itu ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.

Kisah anggota tentera itu menjadi tular di media sosial apabila ada pihak mendakwa dia meninggal dunia akibat dibuli selepas dijumpai tidak sedarkan diri ketika sedang mengikuti latihan ketenteraan di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, Rabu lalu.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mengesahkan bahawa tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada tubuh Indiran selepas mendiang didakwa tidak sedarkan diri ketika kejadian.

Sementara itu, jasad mendiang yang tiba di kediaman keluarganya di sini, awal pagi tadi dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Tentera sebagai tanda penghormatan dengan kerandanya diusung oleh sembilan anggota dan diiringi oleh 12 pegawai dan 50 anggota tentera ke Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang di sini.

Pegawai Memerintah Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Leftenan Kolonel Nazrol Abdullah kemudian menyerahkan Jalur Gemilang yang menutupi keranda mendiang kepada waris sejurus mendiang dikebumikan bersebelahan pusara bapanya yang juga anggota tentera, namun, terkorban dalam satu nahas udara kira-kira 10 tahun yang lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN