PETALING JAYA: Kenaikan kadar tarif global 15 peratus yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka memberi tekanan langsung kepada eksport Malaysia dan menjejaskan margin keuntungan syarikat tempatan.
Pensyarah ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, keputusan itu bakal meningkatkan kos perdagangan rentas sempadan dan mengurangkan permintaan terhadap barangan eksport negara khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan pembuatan berorientasikan eksport.
“Malaysia adalah ekonomi terbuka yang sangat bergantung kepada rantaian nilai global.
“Apabila tarif dinaikkan, pengeluar di Amerika Syarikat dan negara lain cenderung menyusun semula sumber bekalan bagi mengelakkan kos tambahan, sekali gus menjejaskan jumlah eksport kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Trump mengumumkan kenaikan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan diperkenalkannya sebelum ini.
Menerusi akaun Truth Social pada Sabtu, Trump berkata kenaikan di bawah Seksyen 122 itu berkuat kuasa serta-merta dan adalah tambahan kepada tarif sedia ada.
Menurut Mohamad Idham, syarikat multinasional juga bakal menilai semula lokasi pengeluaran dan laluan eksport serta boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan.
Katanya, keadaan itu boleh mengecilkan margin keuntungan syarikat tempatan dan menekan daya saing harga, kususnya industri bergantung kepada komponen import.
Katanya, ketidaktentuan dasar perdagangan global berisiko melemahkan sentimen pelaburan.
“Sekiranya negara yang terkesan mengambil langkah balas seperti tarif timbal balas, ia boleh meningkatkan ketegangan perdagangan dan mengurangkan pertumbuhan perdagangan antarabangsa secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berpandangan penyusunan semula rantaian bekalan global juga berpotensi membuka peluang kepada Malaysia menarik pelaburan baharu, sekiranya negara mampu mengekalkan kestabilan dasar, kecekapan logistik dan daya saing kos.
“Malaysia perlu mempercepat kepelbagaian pasaran eksport dan meningkatkan nilai tambah domestik supaya tidak terlalu bergantung kepada satu pasaran utama,” katanya.-UTUSAN










