PETALING JAYA: Filem ‘Taj Mahal…An Eternal Love Story’ merupakan karya seni yang mengangkat jambatan persahabatan, kefahaman dan nilai kemanusiaan sejagat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, filem dua dekad itu kembali ditayangkan dalam versi yang dipertingkat di samping masih mengekalkan karya asal sambil memberi pengalaman tontonan lebih segar dan mendalam kepada penonton.
“Saya menghargai usaha sahabat saya yang juga pengarah filem ini, Akbar Khan, serta kehadiran barisan pelakon asal yang memaknakan malam bersejarah ini.
“Kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal terus hidup sebagai lambang pengorbanan, kesetiaan dan keindahan ciptaan insan yang merentas zaman dan peradaban.
“Terima kasih kerana memilih Malaysia sebagai pentas pelancaran global sekali gus menegaskan peranan negara kita sebagai hab budaya dan diplomasi serantau, tempat seni diraikan, dialog diperkukuh dan nilai kemanusiaan dipertaut,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar menghadiri tayangan global perdana filem epik ‘Taj Mahal… An Eternal Love Story’ semalam.-UTUSAN










