IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad
Majlis yang diadakan setiap tahun itu menarik kehadiran 15,000 pengunjung pelbagai kaum.
Dalam sembah ucapannya, Saarani berkata, proses pembangunan negeri Perak tidak berlandaskan emosi yang membara tanpa arah selain kemajuan tidak terbina daripada masyarakat yang dilingkari kemarahan.
Beliau berkata, masa depan negeri tidak terbina atas bara sentimen yang membakar kewarasan.
“Kemajuan masa depan memerlukan masyarakat yang saling menguatkan bukan melemahkan. Hakikatnya, negeri ini tidak boleh dibangunkan dengan emosi yang membara tanpa arah. Kemajuan tidak terbina daripada masyarakat yang dilingkari kemarahan.
“Masa depan tidak terbina atas bara sentimen yang membakar kewarasan. Kemajuan masa depan memerlukan masyarakat yang saling menguatkan, bukan melemahkan,’ katanya.
Saarani menambah, kekuatan semangat perlu berpandukan hikmah.
“Kita boleh berani, tetapi keberanian itu mesti dipandu dengan empati dan nurani kerana percayalah, dalam kita membina negeri, kita tidak hanya memerlukan api yang menyala, tetapi juga cahaya yang menerangi jalan untuk semua.
“Selama lebih enam dekad, kita menikmati keamanan dan keharmonian dalam kepelbagaian. Anak-anak membesar tanpa rasa takut, jiran saling menyapa tanpa curiga, dan perayaan diraikan tanpa tembok pemisah. Semuanya menjadi simbol keamanan yang dibina berteraskan semangat kebersamaan,” katanya. – UTUSAN










