KAJANG: Polis Selangor menggerakkan 3,100 anggota bagi operasi menyeluruh pencegahan jenayah sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kehadiran anggota polis di kawasan perumahan akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk sentiasa terpelihara.
“Antara kes jenayah yang berlaku pada musim perayaan ialah pecah rumah. Kita akan tingkatkan rondaan dalam membendung sebarang kes jenayah.
“Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang kecurigaan membabitkan kes jenayah untuk tindakan segera polis ke lokasi kejadian.
“Laporkan maklumat jenayah, aduan atau maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di sini, hari ini.
Beliau berkata, aplikasi VSP dan kemudahan itu membolehkan masyarakat menikmati cuti perayaan dengan lebih tenang dan selamat tanpa rasa khuatir meninggalkan kediaman masing-masing.
Masyarakat pada masa sama diminta berwaspada dengan mengunci rumah dan kenderaan selain mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara terbuka.
Mengulas majlis walkabout berkenaan, Shazeli berkata, ia sebagai langkah memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat.
Jelasnya, program itu menjadi platform komunikasi dua hala yang komprehensif dan digunakan untuk memperoleh pandangan serta maklumat aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
“Polis Selangor kekal komited dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat melalui pengukuhan strategi pencegahan jenayah serta jalinan kerjasama bersama komuniti,” katanya. – UTUSAN










