Hamzah isytihar penentang nombor satu Muhyiddin, tidak akan buat rayuan - Utusan Malaysia

Hamzah isytihar penentang nombor satu Muhyiddin, tidak akan buat rayuan

Hamzah Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisytihar ‘perang’ terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pemecatannya serta-merta semalam yang dianggap tidak adil.

Hamzah yang merupakan bekas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, beliau tidak mempunyai matlamat untuk menjadi Presiden parti seperti mana didakwa, sebaliknya hanya mahu menjadi pejuang bangsa.

Beliau berkata, dirinya dipersalahkan dengan perkara yang beliau sendiri tidak tahu menahu termasuk gerakan menjatuhkan Muhyiddin dalam Bersatu sehingga dipecat dan disingkirkan daripada parti.

“Saya tidak tahu pun apa yang sedang berlaku, hari ini saya dipecat kerana saya tidak tahu dan mengawal perkara yang saya tidak tahu. Hantu apa yang ada di dalam Bersatu?

“Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (sebelum ini) saya bangun katakan bahawa saya orang nombor satu yang menyokong Presiden. Hari ini saya nak beritahu kepada Presiden, sayalah penentang nombor satu,” katanya ketika menyampaikan ucapan di taklimat hala tuju politik beliu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat keahlian parti serta-merta.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 Perlembagaan parti.

Katanya, pemecatan itu berkuat kuasa semalam kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4.

Hamzah berkata, sebelum ini apa sahaja arahan Muhyiddin sentiasa diikuti beliau termasuk mengeluarkan duit bagi menghadapi pilihan raya, namun tidak dihargai.

Kerana itu, katanya, beliau tidak akan mengemukakan rayuan pada Lembaga Rayuan Bersatu.

“Saya minta maaf kerana saya tidak akan kembali, tidak akan melakukan rayuan terhadap apa yang telah mereka lakukan.

“Yang saya mahu adalah untuk melihat masa depan yang lebih baik, negara memerlukan sesuatu yang lebih baik. Kita perlu ‘reset,” katanya.

Hamzah turut mendedahkan bahawa sejak beliau dalam UMNO lagi tidak pernah mengundi atau menyokong Muhyiddin yang pada ketika itu Timbalan Presiden.

“Tetapi sebelum semalam, saya lakukan untuk kamu, lakukan untuk parti, saya berkorban bukan atas nama Muhyiddin tetapi atas nama parti.

“Kalau kamu (Muhyiddin) menggunakan ‘anjing-anjing’ maka sekali lagi saya nak beritahu saya adalah musuh pertama kamu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN