KUALA LUMPUR: “Saya akan ada ‘rumah’ baharu”.
Demikian kata bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai hala tuju politiknya selepas pemecatan yang berkuat kuasa semalam.
“Ia boleh jadi parti lama atau parti baharu tetapi (yang pasti) ‘rumah’ baharu,” katanya ketika disoal pemberita mengenai langkah yang akan diambilnya selepas dipecat daripada Bersatu.
Beliau ditemui pada majlis taklimat hala tuju politik atau ‘reset’ yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, Hamzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Larut dipecat keahlian partinya serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Katanya, pemecatan itu berkuat kuasa semalam kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4.
Dalam pada itu, Hamzah mengunci mulut mengenai khabar angin bahawa beliau akan mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa).
“Kalau khabar angin itu jadi betul, maka betul lah tetapi kalau khabar angin itu hanya lepas begitu sahaja, ia tidak. Ada kemungkinan dan ada kemungkinan tidak.
“Kerana ada pilihan-pilihan lain tetapi khabar angin itulah perkaranya,” katanya. – UTUSAN










