KUALA LUMPUR : Suami kepada selebriti Heliza Helmi, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah.
Tertuduh dikenali sebagai Mahadi BZ dengan imej berjanggut panjang, mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim-Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mahadi, 43, sebagai pengasas syarikat AUF MBZ Consortium PLT didakwa telah menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti.
Kedua-dua pertuduhan didakwa dilakukan di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 serta 3 September 2021 dan 15 Februari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Subseksyen 367(1) Akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) Akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 April ini tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










