Stok beras negara cukup lebih lima bulan

Stok beras negara cukup lebih lima bulan

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah simpanan beras negara kini melebihi satu juta tan metrik dan mampu menampung keperluan domestik untuk tempoh lebih lima bulan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan beras negara kekal stabil walaupun berdepan cabaran bencana alam seperti banjir serta perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran hasil.

Menurut beliau, simpanan tersebut merangkumi stok penimbal khusus selain bekalan dagangan semasa, sekali gus menjadi antara mekanisme penting kementerian bagi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara strategi yang dilaksanakan termasuk menyediakan stok penimbal bagi komoditi utama seperti beras.

“Sehingga 3 Februari 2026, stok fizikal beras semasa negara adalah sebanyak 1,089,285 metrik tan merangkumi 200,000 metrik tan stok penimbal beras dan 889,285 metrik tan stok dagangan yang mencukupi untuk menampung keperluan selama 5.45 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai langkah memastikan kesinambungan bekalan makanan negara semasa bencana seperti banjir dan perubahan iklim.

Tambahnya, kementerian turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan negara pembekal utama bahan makanan termasuk rakan serantau dan negara dagang tradisional dalam sektor agromakanan.

“Perkara ini penting. Kita perlu mengeratkan hubungan dengan negara-negara pembekal bahan makanan utama seperti negara-negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia, New Zealand dan negara-negara sahabat lain.

“Sekiranya berlaku kekurangan bekalan makanan, hubungan baik dengan negara-negara sahabat ini membolehkan kita mendapatkan bekalan alternatif dengan lebih pantas dan terjamin,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan pelbagai strategi termasuk stok penimbal dan kerjasama antarabangsa adalah langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini