PETALING JAYA: Keputusan akhir menentukan sama ada enam ahli Parlimen yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin boleh menyertai atau menubuhkan parti baharu terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau melihat situasi dihadapi oleh keenam-enam ahli Parlimen tersebut adalah kesamaran undang-undang anti lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menyebut dua keadaan di mana ahli Parlimen dianggap melompat parti iaitu meninggalkan parti dan menyertai parti baharu.
“Selain itu, bertanding atas tiket Bebas dan selepas menang pilihan raya menyertai parti lain. Dalam dua situasi itu, kerusi mereka perlu dikosongkan.
“Bagaimana pula Ahli Parlimen dipecat? Mereka tidak dikira sebagai lompat parti. Namun peruntukan ini tidak menyatakan sama ada mereka yang dipecat itu boleh menubuhkan parti baharu atau menyertai parti lain.
“Tetapi jika dilihat daripada Perkara 49(A), ia tiada halangan untuk mereka berbuat demikian. Itu yang tersurat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Hamzah dan lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang); Azahari Hassan (Padang Rengas); Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) yang dipecat daripada Bersatu dijangka menyertai ‘rumah baharu’.
Hasrat itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan menyertai atau menubuhkan parti baharu dibolehkan berdasarkan undang-undang Anti Lompat Parti yang berkuat kuasa pada Oktober 2022.
Azhar berkata, beliau berpandangan keputusan muktamad akhirnya terletak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada seseorang ahli Parlimen terlucut atau tidak kerusi disandangnya jika menyertai atau menubuhkan parti baharu selepas dipecat.
Katanya, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Bersatu mengenai keengganan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengisytiharkan empat kerusi Ahli Parlimen Sabah sebagai kosong kerana menyokong kerajaan, sebarang keputusan Speaker tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
“Mahkamah memutuskan institusi tersebut perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen, justeru tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.-UTUSAN










