KUALA LUMPUR: Kes pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkaitan projek pembinaan Lebuhraya Maju Expressway II (MEX II) akan dibicarakan bersama kes pengubahan wang haram melibatkan isterinya di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Suzana Hussin membuat ketetapan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib agar kesemua kes dibicarakan sekali.
Ahmad Akram berkata, Hakim Mahkamah Sesyen 8, Rosli Ahmad membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes melibatkan Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi untuk didengar oleh Hakim Suzana.
Kedua-dua tertuduh yang hadir semasa prosiding diwakili oleh peguam Jasbeer Singh.
Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes.
Pada 8 September 2025, Abu Sahid, 75, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM100 juta.
Pada 24 September 2025, Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM145,550,000 yang dibayar ke satu akaun escrow.
Noor Azrina, 49, pula didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Pertuduhan didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama. – UTUSAN










