Keputusan Abu Sahid mohon pasport pada Jumaat

Keputusan Abu Sahid mohon pasport pada Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Jumaat ini untuk keputusan sama ada Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed boleh mendapatkan sementara pasport antarabangsa.

Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah peguam bela, Datuk Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry bagi pihak pendakwaan.

Abu Sahid memohon pasport antarabangsa dilepaskan buat sementara bagi membolehkannya menghantar anak perempuannya ke London bagi melanjutkan pelajaran pada Januari tahun depan.

Pada 8 September lalu, Abu Sahid didakwa dengan lima tuduhan, iaitu sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, diamanahkan dengan penguasaan wang milik syarikat dalam akaun bank, telah menyalahgunakan lebih RM458.5 juta di sebuah bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan 10 tuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang yang terbabit, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN