MEX II: Abu Sahid kekalkan pengakuan tidak bersalah

MEX II: Abu Sahid kekalkan pengakuan tidak bersalah

Abu Sahid Mohamad sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur atas pelbagai pertuduhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua kes yang dihadapi oleh Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkaitan projek pembinaan Lebuhraya Maju Expressway II (MEX II) akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 8 September lalu, Abu Sahid, 74, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM100 juta.

Pada 24 September lalu, Abu Sahid didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM145,550,000 yang dibayar ke satu akaun escrow.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib untuk memindahkan kesemua pertuduhan.

Dalam prosiding hari ini, Abu Sahid mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan yang dipindahkan dibaca semula di mahkamah hari ini.

Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM1.5 juta yang dikenakan terhadap Abu Sahid sebelum ini.

Bagi empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa menyalahgunakan wang RM313 juta yang dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku, Taman Bukit Tunku di sini antara 3 Mei 2016 dan 21 Oktober 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi 13 pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan wang kepada beberapa individu serta syarikat dan melupuskan wang yang kesemuanya hasil aktiviti haram berjumlah RM139 juta yang didakwa dilakukan di lokasi sama antara 4 Mei 2016 dan 19 September 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTAPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, mahkamah turut membenarkan permohonan untuk memindahkan 18 pertuduhan yang dihadapi bekas pengarah syarikat, Datuk Yap Wee Leong dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen di sini.

Wee Leong turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kesemua 18 pertuduhan itu dibaca semula. Mahkamah mengekalkan jamin RM1 juta yang dikenakan sebelum ini.

Pada 8 September lalu, Wee Leong yang juga pemegang konsesi Lebuhraya MEX II mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya yang sama, di sini.

Mengikut pertuduhan, Wee Leong didakwa telah menggunakan 17 dokumen tuntutan bayaran kemajuan sebagai tulen dengan jumlah keseluruhan RM314.48 juta bagi kerja-kerja pembersihan tapak, kerja sementara, kerja tanah, kerja geoteknikal, kerja perparitan dan kerja turapan pada projek MEX II.

Pada 25 September lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Wee Leong dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menggunakan butir matan palsu dan sembilan pertuduhan pemindahan wang haram membabitkan RM609,075,995.02 dipercayai berkaitan transaksi pembinaan projek lebuh raya antara November 2017 hingga Ogos 2018.

Wee Leong dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLAFTAPUAA 2001 boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Abu Sahid dan Wee Leong diwakili peguam Datuk Jasbeer Singh dan Abdul Hakeem Aiman.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari 2026 untuk sebutan semula kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN