Sindiket seleweng diesel guna lori tangki sebagai stor bergerak tumpas

Sindiket seleweng diesel guna lori tangki sebagai stor bergerak tumpas

S. JEGAN (kanan) menunjukkan tangki IBC yang digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi dalam sebuah lori seberat 14 tan sebelum ia dipindahkan ke dalam sebuah lori tangki berhampiran di Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang menjadikan sebuah lori tangki sebagai stor bergerak susulan satu serbuan yang dilakukan di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 5 pagi itu, terdapat tiga lelaki sedang memindahkan diesel tersebut daripada sebuah lori seberat 14 tan ke dalam lori tangki tersebut yang berkapasiti 24,000 tan.

Katanya, dua daripada mereka yang dipercayai warga asing bagaimanapun berjaya meloloskan diri ke dalam belukar berhampiran sebelum hilang tanpa dikesan manakala seorang lagi suspek iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai pemandu lori berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori tangki itu mendapati, terdapat kira-kira 14,000 liter diesel telah dipindahkan ke dalam kenderaan terbabit sebelum ia dihantar ke satu lokasi lain yang masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.

“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini pula ialah meletakkan lori tangki itu di satu lorong mati di sini untuk tempoh tertentu sehingga satu bulan dan apabila tangkinya telah diisi penuh, maka, lori tangki ini akan bergerak meninggalkan kawasan itu,” katanya kepada pemberita, di sini.

Secara keseluruhannya, Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang telah berjaya merampas sebanyak 20,000 liter cecair dipercayai diesel bersubsidi termasuk 6,000 liter diesel yang dirampas di sebuah premis tidak bernama dalam serbuan berasingan.

Katanya, antara barang yang disita dalam kedua-dua serbuan itu pula termasuk sebuah lori kanvas seberat 14 tan dan sebuah lori tangki berkapasiti 24,000 liter, 12 unit tangki IBC, tiga unit motor pam, tiga unit hos getah serta sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM200,000.

“KPDN ingin menegaskan bahawa pemantauan berterusan akan dilaksanakan dalam hal ini manakala tindakan tegas pula akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan seperti ini,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, pihaknya akan memantau sepenuhnya penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk membeli minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) yang akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai esok.

“Kita berharap penggunaan sistem ini bukan sahaja akan membantu KPDN dalam memantau pembelian serta penjualan minyak masak peket ini, tetapi juga akan memudahkan peniaga kerana mereka kini boleh melarang warga asing daripada mendapatkan minyak masak berkenaan seperti yang disyaratkan dalam sistem itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN