KUALA LUMPUR: Tindakan seorang warga Bangladesh menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan dan nasihat serta menjual ubatan haram akhirnya terbongkar selepas dia ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di sini semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati ubat-ubatan dijual di premis itu sepatutnya hanya boleh diperoleh dengan preskripsi doktor dan tidak sepatutnya dimiliki dalam jumlah besar oleh individu.
Menurutnya, kebanyakan ubat tersebut dibawa masuk oleh pelancong dari negara asal sebelum diedarkan ke premis terbabit.
“Ubat yang dijual sepatutnya memerlukan preskripsi doktor dan tidak boleh dimiliki dalam kuantiti besar oleh individu dan setakat ini tiada aktiviti pembedahan dijalankan di premis berkenaan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada individu seperti doktor, penjaga premis dan jurujual untuk mempromosikan khidmat mereka kepada warga asing sekitar dan siasatan juga mendapati bahawa doktor itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.
“Menerusi hasil risikan kira-kira dua minggu, kami mendapati pelanggan premis terbabit kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh,” katanya.
Tambah Lokman Effendi, pesakit yang hadir juga akan melakukan prosedur sebagaimana yang dilakukan oleh klinik biasa seperti melakukan pemeriksaan tekanan darah dan akan dinasihati untuk membeli ubat mengikut hasil pemeriksaan tersebut.
Katanya, ubat yang ditawarkan berharga sekitar RM50 hingga RM100.
“Antara ubat yang dijual ialah ubat stres dan tahan sakit, antibiotik, kencing manis, ubat demam, darah tinggi, kolesterol serta gastrik.
“Kedai beroperasi dalam premis tersorok, keadaan amat padat, di bahagian hadapan menjual produk harian manakala bahagian belakang digunakan untuk menjual ubatan haram serta terdapat bahagian menawarkan khidmat gunting rambut.
“Hasil serbuan terhadap sembilan premis telah berjaya menahan seramai 18 orang lelaki yang terdiri daripada 17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar.
“Kami akan melihat dari segi kesalahan seperti tiada dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peruntukan undang-undang kami yang lain, manakala pihak farmasi akan meneliti aspek mengikut Akta Jualan Dadah 1952 bagi penjualan ubatan haram terbabit,” katanya. – UTUSAN










