Semak lesen kilang kitar semula, elak terlibat aktiviti haram

Semak lesen kilang kitar semula, elak terlibat aktiviti haram

L. FRANCIS XAVIER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat hari ini menggesa supaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyemak semua lesen kilang yang menjalankan aktiviti kitar semula sisa elektronik atau e-waste di seluruh negara.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, gesaan itu dibuat susulan terdapat dakwaan bahawa ada kilang yang memiliki lesen terbabit, namun, menyalahgunakannya untuk aktiviti haram seperti mengimport e-waste ke beberapa lokasi tertentu termasuk Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Justeru katanya, semakan menyeluruh penting bagi memastikan lesen berkaitan pengurusan sisa termasuk lesen sisa elektronik untuk buangan berjadual (SW110) diguna mengikut syarat yang ditetapkan dan tidak dimanipulasi untuk operasi yang bercanggah dengan keputusan kerajaan.

“Dalam hal ini, kita menggesa supaya JAS turun padang dan menyemak semula semua lesen kilang terutamanya yang memproses barangan kitar semula menggunakan lesen SW110 agar ia sentiasa dikemas kini dan tidak melanggar syarat yang ditetapkan.

“Kita juga berharap agar tindakan diambil secara bersepadu kerana ketegasan agensi lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebelum ini berjaya menumpaskan penyeludupan e-waste di Port Klang selain menutup sebuah kilang haram di Telok Panglima Garang (Selangor),” katanya kepada pemberita, di sini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan, kerajaan bersetuju menguatkuasakan larangan mutlak terhadap pengimportan e-waste sebagai langkah memperkukuh kawal selia dan mengekang kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara bermula 4 Februari lalu.

Sementara itu, Xavier memberitahu, usaha membanteras kilang haram dan penyalahgunaan lesen seperti itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira lokasi dan kedudukan mana-mana pihak.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini yang mahu supaya usaha membasmi penyelewengan seperti itu dilaksanakan secara tegas serta adil.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN