Sektor kimia mencabar, Petronas Chemicals rugi RM2.1 bilion pada 2025

Sektor kimia mencabar, Petronas Chemicals rugi RM2.1 bilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) merekodkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM2.1 bilion berbanding keuntungan RM1.29 bilion tahun sebelumnya, disebabkan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

Pendapatan kumpulan susut kepada RM27.5 bilion berbanding RM30.67 bilion pada tahun kewangan 2024 manakala EBITDA merosot 46 peratus tahun ke tahun kepada RM1.9 bilion.

Menurut PCG, harga produk yang lebih rendah, margin yang semakin mengecil serta lambakan bekalan berterusan, khususnya dalam pasaran Olefin & Derivatif (O&D) dan bahan kimia khusus mengakibatkan penyusutan tersebut.

Ujarnya, ia turut disebabkan kemerosotan nilai aset di Perstorp serta kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPCSB).

“Sektor kimia berdepan dengan cabaran pada 2025, berikutan kapasiti berlebihan yang berterusan, permintaan global yang lemah serta tekanan persaingan yang meningkat di rantau Asia-Pasifik berikutan kapasiti baharu di pasaran.

“Keadaan lebihan bekalan yang berterusan dari Asia Timur Laut dan Timur Tengah, serta perubahan dasar geo-ekonomik serta ketegangan perdagangan dan gangguan tarif terus menjejaskan akses pasaran, harga dan margin,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji sebanyak 88 peratus tahun ini, walaupun menghadapi kerja penyelenggaraan besar yang telah dijadualkan termasuk aktiviti pemulihan di PC Fertiliser Sabah.

PCG juga berdepan gangguan pengeluaran akibat gangguan utiliti yang tidak dijadualkan di Kertih Integrated Petrochemical Complex (KIPC) pada Januari, serta gangguan stok suapan di PC Fertiliser Kedah susulan insiden Putra Heights pada April 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, PCG terus komited dalam memperkukuhkan asas perniagaan dan meningkatkan daya tahan operasi bagi memastikan kemampanan dan kestabilan jangka panjang.

“Sepanjang 2025, kumpulan berhadapan dengan pelbagai cabaran luaran dan dalaman yang kompleks serta memerlukan penyesuaian berterusan bagi memastikan prestasi dan pelaksaanan kekal mampan.

“Susulan gangguan tidak dirancang semasa pelaksanaan program berjadual, kumpulan menjalankan semakan operasi dan memutuskan menangguhkan sebahagian besar aktiviti penutupan loji ke tahun ini bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelangsungan perniagaan.

“Walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar, kumpulan mengekalkan operasi yang stabil, dengan segmen O&D dan Baja dan Metanol (F&M) yang mencatatkan kadar penggunaan loji melebihi 85 peratus,” katanya.

Sepanjang 2025, ujarnya, kumpulan turut memacu projek pertumbuhan utama, termasuk loji Isononanol (INA) di Pengerang yang kini beroperasi secara komersial, dan loji Melamin di Gurun yang telah sedia untuk beroperasi.

Katanya, pencapaian itu menandakan kejayaan dalam perluasan portfolio derivatif serta mengukuhkan pencapaian nilai jangka panjang.

“Dalam portfolio bahan kimia khusus, kami terus memajukan peralihan ke arah pasaran bernilai tinggi.

“Pemerolehan OQ Chemicals Nederland B.V. pada Disember 2024 juga membolehkan kami menawarkan penyelesaian ester sintetik untuk aplikasi bendalir pengubah dengan penghantaran pertama kepada pelanggan pada Julai 2025,” ujarnya.

Mengulas prospek 2026, beliau berkata, persekitaran operasi dijangka kekal mencabar susulan ketidakpastian ekonomi global, turun naik harga minyak, perubahan pasaran pesat serta tekanan geoekonomi dan perdagangan yang meningkat.

“Kumpulan menjangkakan pasaran O&D akan terus menghadapi tekanan berikutan penambahan kapasiti baharu di China serta permintaan yang perlahan.

“Sementara itu, permintaan agrikultur yang kukuh di India dan Australia terus menyokong penggunaan baja, manakala bekalan metanol dijangka kekal terhad berikutan aktiviti penutupan loji berjadual di Asia Tenggara.

“Kumpulan juga turut kekal berwaspada pada segmen bahan kimia khusus, memandangkan
permintaan dalam sektor pembinaan dan automotif masih perlahan, manakala pertumbuhan dalam sektor berkaitan pengguna juga sederhana.

“PCG akan terus memperkukuh daya tahan portfolionya melalui pengoptimuman aset, kecekapan kos dan operasi,” jelasnya.

PCG mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.0 sen sesaham biasa dengan pengagihan berjumlah RM320 juta kepada para pemegang saham.

Dividen itu yang akan dibayar pada 18 Mac 2026 menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi 2025 sebanyak RM560 juta, mencerminkan komitmen berterusan PCG dalam memberikan pulangan kepada pemegang saham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×