KUALA LUMPUR: Chef selebriti, Prof. Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam memohon maaf susulan kenyataannya yang mempertikaikan kelonggaran pekerja pulang awal pada bulan Ramadan.
Beliau menerusi satu hantaran dalam Threads, mengakui kesilapannya menggunakan perkataan kurang sesuai dalam kenyataan semalam, sekaligus mengundang kemarahan ramai pihak.
“Nampaknya kenyataan saya semalam telah menimbulkan kemarahan ramai.
“Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya tersilap pilih perkataan.
“Menggelitis yang saya taipkan itu sepatutnya bergegas atau tergesa-gesa.
“Saya mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan saya menyebabkan kemarahan anda semua,” tulisnya.
Chef Zam semalam dikecam kerana menyindir pekerja pulang awal menerusi kenyataan dalam media social.
“Waktu berbuka pukul 7.29 pm. Yang kau menggeletis nak balik dari tempat kerja pukul 4.30 pm itu apa pasal pula.
“Mahu memasak untuk kateringkah?” sindirnya dalam media sosial.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan sekadar bergurau dan tidak berniat memperkecilkan masyarakat dengan kenyataan tersebut.
“Mengenai masak untuk katering itu, saya maksudkan sebagai berjenaka. Tidak terlintas dalam hati saya untuk memperkecilkan kepayahan anda semua berkejar pulang untuk persiapan yang pelbagai,” jelasnya.










