PELAKON dan penyanyi, Elizabeth Tan, 32, tidak sesekali ambil pusing terhadap persepsi segelintir pihak yang menggelarnya ‘anak emas’ Skop Production hanya disebabkan kebanyakan filem lakonannya diterbitkan syarikat produksi tersebut.
Malah pelakon yang mesra disapa sebagai Lizzy memaklumkan yang dia lebih awal dapat menjangkakan persepsi sedemikian pasti ditimbulkan gara-gara hubungan baik yang terjalin antara dia dengan Pengarah Urusan syarikat berkenaan iaitu Datuk Yusof Haslam serta anak-anaknya, Syafiq dan Syamin Yusof.
“Saya memang sudah menjangkakan, pasti ada yang beranggapan sedemikian. Iya, kebanyakan filem yang saya lakonkan adalah terbitan Skop Production.
“Tetapi saya tidak pernah terkesan, apatah lagi mengambil pusing dengan pandangan-pandangan negatif ini. Hanya saya dan orang terdekat yang tahu saya bekerja keras untuk setiap watak yang saya lakonkan,” katanya.
Pelakon filem Black Ops: Operasi Serigala ini menegaskan setiap peluang lakonan yang diterimanya adalah hasil usahanya sendiri yang sejak awal dulu bersusah payah menghadiri uji bakat. Katanya, peluang tidak datang bergolek.
“Saya dapat peluang ini pun atas usaha sendiri. Saya hadiri uji bakat dan lalui proses sama seperti pelakon lain.
“Bukannya saya keluar minum kopi dengan Yusof Haslam untuk melobi kerja. Malah kalau berjumpa beliau dan anak-anaknya, hanya di set penggambaran sahaja,” ujarnya.
Menganggap peluang berlakon bersama Skop Production sebagai satu rezeki, Lizzy tidak menafikan hampir kesemua tawaran lakonan yang diterimanya datang daripada syarikat berkenaan.
“Saya terima sahaja apa-apa tawaran yang datang. Cuma kebanyakannya memang daripada Skop Production. Saya tak terima banyak peluang daripada syarikat produksi yang lain.
“Yusof, Syafiq dan Syamin benar-benar melihat bakat dan percaya dengan kemampuan saya.
“Saya sangat bersyukur kerana mereka membuka banyak peluang untuk saya dan saya amat hargai kebaikan mereka,” kongsinya.
TIADA JALAN PINTAS
Walaupun sudah lebih sedekad mewarnai industri seni tanah air, Elizabeth memaklumkan dia sampai ke hari ini masih perlu bersusah payah, menghadiri sesi uji bakat seperti pelakon baharu untuk mendapatkan tawaran lakonan.
Katanya, pengalaman yang dimiliki bukan jalan pintas untuk merebut peluang, sebaliknya menjadi peringatan agar sentiasa merendah diri dan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan.
“Saya masih pergi uji bakat walaupun sudah lebih 10 tahun dalam industri. Itu perkara biasa bagi saya.
“Dan bukan semua sesi uji bakat saya hadiri berakhir dengan kejayaan, sebaliknya banyak juga yang gagal. Tapi saya faham, bukan semua watak yang saya uji bakat itu bersesuaian dengan saya.
“Saya ini sekadar mencuba nasib. Dapat atau tidak, itu belakang cerita. Kalau bukan rezeki saya, mungkin rezeki orang lain,” kongsinya.










