WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Israel berkemungkinan melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran yang berpotensi menjadi kempen besar-besaran selama beberapa minggu dan berisiko mengancam pemerintahan Teheran.
Menurut laporan laman berita Axios, pentadbiran Presiden Donald Trump kini hampir berdepan konflik ketenteraan besar di Asia Barat, dengan pegawai Israel bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang tercetus dalam masa terdekat.
Sumber laporan itu mendakwa, Israel bersedia untuk bertindak segera, manakala pihak tentera Israel dipercayai memerlukan lebih banyak masa bagi membuat persiapan.
“Saya fikir terdapat 90 peratus kemungkinan kita akan menyaksikan tindakan ketenteraan dalam beberapa minggu akan datang,” kata seorang penasihat Trump kepada Axios.
Washington meningkatkan kehadiran tenteranya secara ketara di rantau Asia Barat dengan mengerahkan kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R. Ford dalam perjalanan ke kawasan berkenaan, bersama jet-jet pejuang tambahan.
Peningkatan ketenteraan berlaku seiring usaha diplomatik antara AS dan Iran, yang kini selesai pusingan kedua rundingan nuklear di Geneva, Switzerland pada Selasa.
Naib Presiden AS, JD Vance, menyifatkan rundingan tersebut sebagai produktif dalam beberapa aspek, namun menyatakan Teheran masih belum bersedia berbincang mengenai ‘garis merah’ yang ditetapkan Trump.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula berkata, rundingan kedua itu menunjukkan kemajuan dan menyifatkan suasana perbincangan ‘lebih membina’.
Pertemuan di Geneva yang diwakili dua pegawai kanan Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner merupakan pusingan kedua rundingan sejak Trump mengarahkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun tahun lalu.
Pusingan pertama rundingan tersebut diadakan di Muscat, Oman pada 6 Februari lalu.- ANADOLU










