INISIATIF Kampung Angkat Madani Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2025 di Kampung Sungai Talan, Juasseh, Negeri Sembilan menjadi manifestasi komitmen universiti dalam memperkasa masyarakat secara holistik dan mampan.
Program ini bukan sekadar simbolik libatsama universiti bersama komuniti, malah merupakan platform strategik yang menggabungkan kepakaran akademia, pembangunan sosial serta pemerkasaan ekonomi setempat. Ia juga selaras aspirasi Malaysia Madani, sekali gus meningkatkan keterlihatan USIM di mata masyarakat sebagai universiti yang dekat dengan komuniti.
Pelaksanaan Kampung Angkat Madani USIM 2025 dikemukakan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) pada 6 Januari 2025.
Kementerian Kewangan bersetuju dengan pemilihan USIM untuk menjadikan Kampung Sungai. Talan sebagai Kampung Angkat Madani melalui surat MOF.100-21/14/7 JLD.5 (76) bertarikh 24 Mac 2025.
Sesi Penyerahan Watikah Kampung Angkat Madani 2025 oleh USIM diadakan dalam satu majlis penyerahan pada 9 Oktober 2025 bertempat di pekarangan Masjid Kariah Kampung Sungai Talan.
Penyerahan watikah berkenaan telah disempurnakan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md. Shaarani kepada Ketua Kampung Sungai Talan, Husaini Harun. Majlis penyerahan watikah itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi penyampaian sumbangan bakul makanan keperluan asas dari pihak USIM kepada 15 orang penduduk kampung di situ.
Penumpuan skop projek Kampung angkat USIM ini meliputi menaiktaraf projek fizikal dan infra dengan mewujudkan pusat interaksi komuniti setempat (USIM@komuniti), menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan kampung projek bukan fizikal, pendedahan kesedaran dan pemeriksaan kesihatan dan program pemerkasaan rohani (Quran Buddies).
PEMINDAHAN ILMU
Selain itu, program yang dilaksanakan turut menerapkan elemen pemindahan ilmu sebagai komponen utama.
Inisiatif ini merangkumi aspek pemindahan dan perkongsian pengetahuan serta inovasi sosial yang memfokuskan kepada program berteraskan keilmuan. Ia termasuklah usaha menyampaikan ilmu yang dimiliki oleh penganjur kepada masyarakat sasaran, di samping menggalakkan perkongsian pengetahuan yang dapat dimanfaatkan bersama oleh semua pihak.
Projek Kampung angkat USIM turut menyantuni komuniti dan masyarakat setempat melalui pelaksanaan program yang diusahakan dan diselaraskan oleh Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM yang bertindak sebagai penasihat strategik dan pemudah cara utama.
Peranan pusat ini memastikan penyelarasan antara fakulti, agensi kerajaan serta komuniti berjalan secara tersusun, berimpak tinggi dan berorientasikan kelestarian.
Pendekatan kolaboratif ini memperkukuh kedudukan USIM sebagai rakan pembangunan komuniti yang berterusan, bukan sekadar penganjur program bersifat jangka pendek.
Melalui pelaksanaan Kampung Angkat Madani USIM 2025, sebanyak RM1 juta peruntukan disalurkan oleh Kementerian kewangan bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja pembangunan dan baik pulih infrastruktur, termasuk kemudahan awam dan prasarana asas yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk.
Usaha ini mencerminkan komitmen USIM dalam memastikan pembangunan fizikal kampung bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat.
Selain aspek infrastruktur, USIM turut memberi penekanan kepada program kesihatan dan pergigian melalui penglibatan kepakaran akademik dan profesional universiti. Saringan kesihatan, rawatan pergigian komuniti serta kempen kesedaran gaya hidup sihat dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan tahap kesihatan penduduk secara menyeluruh.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat segera kepada komuniti, malah menjadi medium pendidikan kesihatan berterusan yang berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan.
Pelbagai bengkel, latihan kemahiran dan sesi perkongsian kepakaran dilaksanakan merangkumi bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi digital serta pembangunan sosial.
Pendekatan ini sejajar dengan peranan universiti sebagai ejen perubahan yang memacu pembangunan komuniti berasaskan ilmu, inovasi dan nilai.

PENYERAHAN PROJEK KAMPUNG MADANI
Majlis Penyerahan Projek Kampung Madani ini disempurnakan Bibi Sharliza manakala simbolik penyerahan inisiatif Kampung Angkat Madani USIM telah disampaikan Sharifuddin pada 6 Februari, lalu.
Kehadiran kepimpinan negeri dan universiti dalam majlis tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat akar umbi.
Pada keesokan harinya, Program Karnival Juasseh @Kampung Angkat Madani USIM melabuhkan tirainya dengan penuh warna dan seribu memori manis apabila berjaya menghimpunkan bukan sahaja penduduk setempat, malah pengunjung dari sekitar Juasseh hadir memeriahkan hujung minggu bersama komuniti.
Sepanjang penganjuran karnival, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat disusun rapi serta menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung pelbagai lapisan usia.
Antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, slot pemerkasaan rohani (Quran Buddies), kuiz dan sukan rakyat, persembahan nasyid, jualan rahmah, jualan makanan serta minuman, produk kampung, jualan berupa pakaian, aksesori wanita dan barangan berupa papan permainan kanak-kanak terpakai.
Lebih menceriakan suasana, siri cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan hingga ke penghujung program. Pengunjung setia sehingga ke penghujung karnival.
Kampung Angkat Madani ini membuktikan sinergi antara universiti dan komuniti mampu menghasilkan impak yang signifikan dan lestari.
Melalui gabungan pembangunan infrastruktur, intervensi kesihatan serta pemindahan ilmu yang diselaras secara strategik, USIM terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan masyarakat dalam membina masa depan yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan. –UTUSAN
DR. Hammad Farhi Mohd. Saudi ialah Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










