Satu tawaran ke prauniversiti

Satu tawaran ke prauniversiti

ZAMBRY Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem ‘satu pintu dan satu tawaran’ akan diperkenalkan bagi menguruskan permohonan melanjutkan pengajian prauniversiti untuk program matrikulasi, asasi dan tingkatan enam.

Menteri Pendidikan Tinggi,­ Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar yang me­mohon hanya akan mene­rima satu tawaran sahaja berdasarkan keputusan terbaik mengikut sistem meritokrasi yang ditetapkan.

Katanya, langkah tersebut ber­tujuan memastikan proses kemasukan lebih teratur dan telus selain mengelakkan pelajar menerima lebih satu tawaran.

“Maknanya, pemohon akan menerima satu tawaran berdasarkan keputusan terbaik mengikut sistem meritokrasi ditetapkan. Jadi tiada lagi perbahasan kenapa pemohon dapat ini, bukannya itu.

“Melalui sistem ini, tiada lagi pelbagai sistem penilaian untuk memasuki universiti. Asasnya daripada segi PNGK (Purata Nilai Gred Kumulatif) yang ke­kal sebagai sistem penilaian di matrikulasi, asasi dan tingkatan enam,” katanya di Dewan Rakyat­ semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai cadangan menyeragamkan kurikulum dan standard penilaian antara program matrikulasi, asasi dan tingkatan enam.

Zambry berkata, daripada segi penggredan, kementerian mengekalkan mekanisme sedia ada berasaskan purata nilai gred kumulatif (PNGK) tanpa perubahan terhadap standard penilaian.

“Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus memastikan penilaian pengredan Tingkatan Enam, manakala program matrikulasi dipantau Lembaga Penasihat Akademik dan demikian juga program asasi.

“Daripada segi penggredan, kita meletakkan proses ini pada satu sistem yang dipanggil sebagai PNGK, maknanya tidak akan ada perubahan.

“Demikian juga dalam konteks penilaian terhadap PNGK matrikulasi yang akan diteruskan kerana ia dipantau dikawal oleh Lembaga Penasihat Akademik Program Matrikulasi yang sedia ada, demikian juga dalam konteks program asasi,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, penyelarasan skim perkhidmatan dan gaji guru matrikulasi dan tingkatan enam dijangka dimuktamadkan tahun ini susulan keputusan kerajaan meletakkan keseluruhan sistem prauniversiti bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bermula 2027.

Katanya, ia sedang diperhalusi kerana melibatkan guru-guru yang berada di bawah skim gaji berbeza.

Ujarnya, persoalan sama ada mereka kekal sebagai guru atau dikategorikan pensyarah apabila berlaku anjakan pentadbiran juga memerlukan penelitian.

Zambry berkata, perubahan tersebut akan memberi implikasi terhadap struktur gaji dan laluan kerjaya masing-masing.

“Kita harap kalau dapat tahun ini, dapat kita selesaikan perkara tersebut kerana ia melibatkan guru-guru yang sedang mengajar di peringkat matrikulasi dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.

Zambry berkata, terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diteliti termasuk mekanisme pergerakan gaji dan kemungkinan pewujudan skim baharu sekiranya perlu.

Katanya, bagaimanapun matrikulasi dan STPM kekal sebagai program prauniversiti dan tidak boleh dianggap sebagai skim universiti.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa bersama melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah ditubuhkan bagi memperincikan aspek teknikal serta memastikan kebajikan tenaga pengajar terus terpelihara.

Mengulas sama ada pihaknya akan menetapkan standard kelayakan lebih tinggi sekiranya berlaku perubahan status, Zambry berkata, tiada perubahan dibuat setakat ini.

Katanya, kebanyakan tenaga pengajar matrikulasi dan tingkatan enam merupakan guru berijazah dan memenuhi kelayakan akademik sedia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN