Sampai masa, saya juga akan bersara - Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Sampai masa, saya juga akan bersara – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya tidak tahu sampai bila saya dapat terus menyanyi.”

Demikian kenyataan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai hala tuju karier nyanyiannya.

Penyanyi tersohor tanah air itu mengakui sampai masanya, beliau juga bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

“Suami saya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa juga mungkin sudah meletakkan had sampai usia berapa saya boleh menyanyi.

“Sampai masa, saya juga akan bersara daripada dunia nyanyian. Cuma saya belum dapat tetapkan bila,” katanya.

Siti bagaimanapun berharap beliau dapat terus berbakti kepada dunia seni tanah air meskipun satu masa nanti terpaksa meninggalkan dunia seni suara.

“Kalau boleh saya mahu terus memberikan sumbangan kepada dunia seni tanah air.

“Kalaupun saya tidak menyanyi lagi, sekurang-kurangnya ada pelapis yang meneruskan perjuangan saya.

“Sebab itu saya tubuhkan SN Legacy, supaya selepas ini saya uruskan pula kerier artis lain, beri sokongan dan lahirkan album untuk mereka,” katanya lagi.

PENGAKHIRAN HUSNUL KHATIMAH

Sebagai anak seni, Siti Nurhaliza tidak terkecuali menerima kritikan. Penyanyi berusia 47 tahun ini akur bahawa setiap individu ada pandangan masing-masing, oleh itu beliau tidak mampu puaskan hati semua orang.

“Apa pun, saya terbuka menerima pandangan. Pembabitan dalam dunia seni selama 30 tahun mematangkan saya dalam menilai pandangan orang lain,” jelasnya.

Disoal tentang teguran ilmuan agama mengenai penganjuran konsert beliau baru-baru ini, Siti mengambil pendekatan untuk tidak mengulas terlalu panjang mengenai perkara itu.

“Isu berkaitan agama ini agak sensitif, saya pun tidak mahu mengulas mengenainya.

“Apa yang boleh saya katakan, kita semua ada tujuan hidup. Saya ini insan yang lemah, tidak sempurna tetapi tetap ada tanggungjawab. Saya berada dalam industri seni juga atas keizinan Allah S.W.T

“Apa pun saya berdoa agar diberikan pengakhiran hidup husnul khatimah. Itu sahaja yang saya harapkan. Selainnya saya reda dan berserah,” kongsinya.

PENERUS LEGASI DAN PERJUANGAN

Ibu kepada dua cahaya mata ini dalam masa yang sama menyusun perancangan untuk melahirkan bakat-bakat baharu yang bakal menjadi pelapis dunia seni tempatan.

Menerusi syarikat SN Legacy, Siti bersama pasukannya giat membimbing penyanyi-penyanyi berbakat besar untuk diketengahkan bagi memeriahkan industri seni.

“Saya berpandangan Umairah mempunyai potensi yang cukup besar. Dia juga telah membuktikan yang dia mampu berdiri dengan bakatnya sendiri menerusi beberapa kejayaan yang telah dicapai.

“Walaubagaimanapun, dia perlu selesaikan dahulu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, sebelum kami terus merancang kerjayanya,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, keistimewaan tersendiri menjadi antara faktor yang menarik minat penyanyi bersuara emas itu menaungi pendatang baharu, Audra di bawah SN Legacy.

“Dia memiliki karakter yang menyenangkan. Selain itu dia tahu genre muzik yang bersesuaian dengannya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN