Sampai bila pelakon badan besar hanya dapat watak ‘badut’? - Utusan Malaysia

Sampai bila pelakon badan besar hanya dapat watak ‘badut’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA difikir-fikir, terlalu kurang naskhah tempatan terutama filem yang mengangkat karakter utama seorang wanita dengan umur dan saiz badan berbeza.

Paling mutakhir mungkin Tiga Janda Melawan Dunia pada 2022, selepas itu hampir tidak ada. Berbeza dengan gaya cerita dan naskhah Hollywood yang berani menampilkan representasi wanita berbadan besar sebagai watak utama dalam pelbagai genre seperti Precious (2009), Spy (2015), Brittany Runs a Marathon (2019) atau Isn’t It Romantic (2019).

Menurut pelakon, Norreen Iman, 32, sudah masanya industri perfileman Malaysia lebih terbuka untuk memberi ruang kepada pelakon berbadan besar menggalas karakter lebih besar dan serius berbanding hanya menjadi watak tempelan, badut yang sekadar menyerikan naskhah.

“Saya percaya orang boleh lihat di Hollywood macam mana orang-orang bersaiz besar ini diterima oleh industri lakonan tak kiralah genre apa sekalipun. Saya mahu menjadi sebahagian daripada itu.

“Sudah masanya peranan lebih besar diberikan kepada pelakon badan besar bukan sekadar untuk watak lawak atau memenuhkan ruang dalam cerita. Selalunya karakter kami mesti jadi kawan baik kepada watak utama. Kita mahu sesuatu yang lebih daripada itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BUAT AKSI SENDIRI

Bagaimanapun, pelakon Rindu Awak Separuh Nyawa itu bersyukur apabila hasrat tersebut perlahan-lahan boleh dilaksanakan dengan adanya pengkarya dan produksi yang percaya kepada bakat berbanding rupa. Terkini, menerusi filem arahan Zahir Omar, Noreen diberi kepercayaan menggalas antara barisan karakter utama dalam naskhah genre aksi bertajuk Mikail Pemburu Dua Alam.

Menurut Noreen, penglibatan dalam filem tersebut merupakan satu anjakan besar dalam kerjayanya. Dia tidak lagi sekadar berdiri di tepi sebagai penghibur, sebaliknya terlibat secara aktif dalam babak-babak yang memerlukan ketangkasan fizikal yang tinggi.

Tambahnya, Mikail Pemburu Dua Alam digambarkan sebagai sebuah naskhah aksi komedi seram yang mempunyai nuansa seumpama filem ikonik Ghostbusters, namun disuntik dengan elemen budaya tempatan yang kuat. 

Apa yang menarik perhatian adalah kesanggupan Noreen untuk melakukan sendiri babak aksi atau stunt tanpa bantuan pelakon ganti. Baginya, kepuasan itu lebih terasa apabila dia sendiri yang mengharungi kepayahan di set penggambaran demi memastikan watak yang dibawa nampak hidup dan realistik.

“Saya memang pergi kelas seni bela diri beberapa bulan sebagai persediaan adegan berlawan dalam filem ini. Aksi dalam filem ini macam bertumbuk, terbalikkan badan, melompat semua saya buat sendiri kerana saya perlu akur sukar juga untuk dapatkan pelakon ‘double’ dengan badan seperti saya. 

“Memang pegal juga badan tapi saya sangat bangga dengan diri saya yang bersaiz besar boleh lakukan itu semua,” katanya.

Dalam pada itu, Noreen bagaimanapun bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius berlaku semasa penggambaran walaupun melakukan semua aksi sendiri.

“Kecederaan serius tiada, cuma biasalah pegal-pegal badan dan sendi. Bila kita berbadan besar, terutama bila adegan kita jatuh. Kita tak boleh letak tilam dekat bawah nanti nampak macam tak jadi. 

“Oleh itu saya jatuhkan diri macam biasa. Tapi saya tidak merungut sebab semua itu pilihan sendiri. Lagipula produksi selalu utamakan keselamatan jadi semuanya berjalan lancar.

“Saya mahu buktikan kepada orang ramai bahawa saya boleh berlawan. Saya tidak mahu watak yang cliché atau sekadar menjadi penyeri babak. Jika saya boleh melakukannya, maka sesiapa pun boleh,” katanya.

TURUN BERAT BADAN

Dalam pada itu, Noreen juga berkongsi sedang dalam proses untuk menurunkan berat badan untuk menimang cahaya mata ketiga.

Noreen menyasarkan berat badan sekitar 85 kilogram berbanding berat asalnya yang mencecah 91 kilogram. Baginya, angka tersebut adalah ideal dan dia masih mahu mengekalkan imej plus-size yang menjadi identiti dirinya selama ini.

“Saya ambil suplemen tambahan sebab belum sempat lagi nak bersenam. Saya tiadalah rutin spesifik yang terlalu ekstrem sebab mahu kekalkan badan ‘plus size’.

“Memang saya nak susutkan sedikit berat kerana sedang merancang untuk mengandung anak ketiga. Saya pula nak hidup lama, kena sihat tubuh badan,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN